Ahad, 31 Mei 2009

Mansor menang, PKR kekalkan Penanti


BUKIT MERTAJAM: Sebagaimana dijangkakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti dalam saingan empat penjuru tanpa kehadiran Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Mansor Othman menang dengan majoriti 5,558 undi.

Walaupun majoriti PKR kali ini meningkat tetapi jumlah undi yang diperoleh calon parti itu hari ini menurun berbanding pilihan raya umum ke-12 tahun lalu.

Sebelum ini beliau disebut-sebut akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang jika menang pilihan raya kecil hari ini.

Mansor yang memperoleh 6,052 undi manakala tiga calon Bebas iaitu Aminah Abdullah memperoleh 392 undi, Nai Khan Ari (494) dan Kamarul Ramizu Idris (56).

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Roslan Yahaya pada pukul 7.10 malam di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Jalan Berapit di sini.

Ketika pilihan raya umum 2008, seramai 12,667 daripada 15,421 keluar mengundi.

Calon PKR ketika itu, Mohammad Fairus Khairuddin menerima 7,346 undi manakala calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid memperoleh 5,127 undi.

Majoriti diperoleh Fairus ialah 2,219 undi.

- Mansor Othman (PKR) 6,052 undi

- Aminah Abdullah (Bebas) 392 undi

- Nai Khan Ari (Bebas) 494 undi

- Kamarul Ramizu Idris (Bebas) 56 undi

Jumlah mengundi: 7,100

Peratus: 46.15

Undi rosak: 106 undi

Majoriti: 5,558 undi

Dalam pada itu, semua sembilan pusat mengundi bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti ditutup pada 5 petang tadi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ngah Senik berkata, sepanjang tempoh mengundi dari 8 pagi hingga 5 petang ini, sebanyak 46.15 peratus atau 7,100 daripada 15,384 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka.

Ketika dihubungi Bernama, beliau berkata sebaik pusat pengundian ditutup, proses mengira undi di 32 saluran yang ada di sembilan pusat mengundi itu dijalankan sebelum semua kertas undi dibawa ke pusat penjumlahan. Peti undi pertama tiba di IKBN pukul 5.45 petang.

Ngah juga berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian yang lancar dan tenang.

Pilihan raya umum Mac lepas mencacatkan peratusan keluar mengundi yang jauh lebih tinggi iaitu 82.08 peratus atau 12,657 orang daripada 15,421 pengundi.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob menyifatkan perjalanan pilihan raya itu paling aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

"Keadaan tenang dan aman dan saya berharap jika ada lagi pilihan raya pada masa akan datang, biarlah keadaannya sama seperti ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau melarang pihak yang menang pilihan raya kecil ini daripada meraikan kemenangan dengan cara yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan lalu lintas.

Kerusi DUN Penanti kosong apabila penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan dengan alasan mahu melanjutkan pelajaran.

Rabu, 27 Mei 2009

Selangor masih gah dengan Arak - PR abuk pun tarak, cakap je lebih, mana perginya pimpinan PAS selangor



SEBELUM kawal jual Arak di Selangor, kita lihat dulu cadangan kawal jualan arak di MPK (Majlis Perbandaran Klang). Mari kita lihat sedutan cadangan Mohd Termizi Ismail seorang ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK). Cadangan beliau menghadkan jualan arak dalam kawasan MPK asalnya dirancang untuk dibentangkan dalam mesyuarat MPK pada 26 November 2008.Bagaimanapun ia tidak jadi dibentangkan. 

Kami juga merasa hairan mengapa tidak jadi di bentangkan? Apakah jualan arak dan minuman keras di Selangor sudah dalam kawalan kerajaan? Bagaimana statusnya sekarang? Sepatutnya orang non Muslim tidak perlu risau tentang menghadkan penjualan arak ini. Mereka masih boleh mendapatkannya di premis-premis yang diberi kebenaran oleh kerajaan negeri jika pelaksanaannya dilakukan. 
Apa yang mendukacitakan ialah sikap kerajaan negeri yang endah tidak endah tentang perkara ini. Jika kita lihat sekarang ini Kedai sebaneka 24 Jam 7 Eleven yang dikawal selia pemuda dan pemudi  Islam terlibat dalam penjualan minuman keras ini. Lebih mendukacitakan apabila cadangan Pemuda PAS selangor untuk menghadkan penjualan arak ini ditolak mentah-mentah oleh Kerajaan PR Selangor. Pemimpin PAS dalam kerajaan PR sepatutnya memandang serius dalam hal ini. 

Selamatkanlah pemuda dan pemudi Islam yang bekerja di premis 7 Eleven ini dari melakukan perkara mungkar yang sepatutnya disedari oleh pemimpin dalam sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai asas. "Membangun Bersama Islam" hanya akan menjadi cogankata yang tiada maknanya jika tidak diikuti. Ia akan menjadi rektorik semata-mata. Kepada pemimpin Islam Keadilan Rakyat dalam kerajaan PR Selangor juga sepatutnya mengambil tindakan sewajarnya. Terlibat dalam penjualan, menyediakan, membuat dan meminum minuman keras adalah satu dosa besar dalam Islam. Kalau ini pun gagal setelah PR berkuasa di Selangor kepada siapa orang Islam hendak letakkan kepercayaan? 

Adakah PAS Selangor sekarang ini terpaksa mengikut telunjuk rakan dalam Pakatan Rakyat hanya kerana ingin terus berkuasa? Adakah menjaga hati rakan dalam Pakatan lebih utama dari menyelamatkan pemuda dan pemudi Islam yang terus melakukan dosa besar. Adakah PAS Selangor lebih takutkan rakan dalam Pakatan Rakyat dari takutkan Allah? Jadi kepada pimpinan PAS Selangor fikir-fikirkanlah. Kita akan disoal tentang amanah yang telah diberikan kepada kita. Adakah PAS Selangor dapat melaksanakan amanah yang lebih besar jika amanah yang sebegini pun mereka gagal melaksanakannya? Atau memang PAS Selangor suka pemudi dan pemuda Islam ini berurusan dengan minuman keras dan menggalakkan perkara ini terus menerus berlaku? 

Selasa, 26 Mei 2009

Mogok lapar: 8 MP, ADUN ditahan

Lapan wakil rakyat pembangkang termasuk ahli parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran ditahan polis selepas perasmian mogok lapar Pakatan Rakyat untuk mendesak DUN dibubarkan.

Mereka ditangkap sewaktu berarak dari tapak program tersebut di pejabat DAP Perak ke mahkamah tinggi untuk menyaksikan satu saman difailkan terhadap kerajaan negeri BN yang memecat ketua-ketua kampung.

Tujuh ADUN yang ditahan: Speaker yang digugurkan V Sivakumar (DAP-Tronoh), Keshwinder Singh (DAP-Malim Nawar), Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai), Chang Lih Kang (PKR-Teja), Leong Mee Meng (DAP-Jalong), Thomas Su (DAP-Pasir Pinji) dan Lim Pek Har (DAP-Menglembu).

perak hunger strike arrest 260509 01Mereka antara 14 orang yang ditahan pagi ini, tidak termasuk lima pekerja syarikat pengurusan acara yang sedang menyiapkan khemah untuk acara tersebut. 

Kelima-lima ditangkap di depan Wisma DAP di Ipoh selepas jam 6 pagi ini. Tiada maklumat lengkap diperolehi tentang status mereka, setakat ini.

Belon udara besar dengan tulisan 'Bubar DUN' turut dirampas. Difahamkan kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh cuba meruntuh khemah untuk majlis pelancaran tetapi tidak meneruskan niat mereka.

Sekurang-kurangnya 50 anggota polis termasuk yang berpakaian biasa dan pasukan pencegah rusuhan kelihatan di sekitar ibu pejabat DAP negeri itu.

perak hunger strike police arrest at ipoh dap office 260509 07Pakatan Rakyat melancarkan mogok lapar selama 72 jam di ibu pejabat DAP itu mulai 11 pagi bagi mendesak dewan dibubarkan untuk memboleh satu pilihanraya negeri dipanggil sebagai langkah penyelesaian kemelut politik yang berlarutan sejak Februari lalu. 

Menteri besar mereka Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan speaker gabungan pembangkang itu V Sivakumar dijadual melancarkan dan menyertai mogok tersebut. 

Beberapa ADUN Pakatan dan penyokong DAP, PAS dan PKR dijangka menyertainya sebagai bantahan terhadap rampasan kuasa BN. 

Mogok lapar ini akan berakhir di pejabat PAS Perak petang Khamis ini.

Kira-kira jam 4.20 petang ini, semua 19 orang itu dibebaskan dari ibu pejabat polis kontinjen Perak di Ipoh.

Nizar tidak rebut naib presiden PAS

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sah menarik diri daripada persaingan jawatan naib presiden PAS, sementara Nasrudin Hassan menang tanpa bertanding ketua Pemuda. 

pemilihan pas 2009 260509Daripada 16 yang dicalonkan untuk tiga jawatan kanan tersebut, hanya lima tokoh PAS bersaing. 

Ketua Pemuda sekarang Salahuddin Ayub, ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar dan tiga ahli jawatankuasa pusat Mujahid Yusof Rawa, Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim dan Nik Amar Nik Abdullah mengesahkan bertanding.

Menteri besar Pakatan Rakyat di Perak itu hanya berminat bersaing bagi menganggotai jawatankuasa pusat PAS.

Seperti diduga, jawatan timbalan presiden menyaksikan perebutan tiga penjuru antara penyandangnya Nasharuddin Mat Isa, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Bagi Pemuda PAS, dua lagi jawatan kanan turut dimenangi tanpa bertanding - masing-masing Azman Shapawi Abd Rani sebagai timbalan ketua dan Ahmad Sabki Yusof (naib ketua).

Jawatan ketua Dewan Muslimat menyaksikan persaingan dua penjuru, antara penyandang Nuridah Salleh dengan pencabarnya Dr Asiah Ali.

Guru agama itu dicabar ahli jawatankuasanya sendiri, yang juga mantan pensyarah UiTM.

Jawatan timbalan ketua menyaksikan persaingan antara penyandang Wan Hasrina Wan Hassan dan naib ketuanya Siti Zailah Mohd Yusoff.

Datuk Harun Taib menguasai kembali ketua Dewan Ulama tanpa bertanding seperti dua lagi jawatan kanan - timbalannya kini Datuk Ahmad Yaakob dan naib ketua Datuk Mahfodz Mohamed. 

Ahmad yang juga timbalan menteri besar Kelantan menang tanpa bertanding apabila penyandangnya Hashim Jasin enggan mempertahankan jawatan tersebut.

pas mustafa ali election director pas party post 2009 contest pc 260509 02Senarai penuh calon-calon barisan pemimpin PAS diumumkan dalam satu sidang media khas di ibu pejabat parti, Kuala Lumpur pagi ini.

Pengerusi Jawatan Pemilihan PAS Datuk Mustafa Ali berkata 54 orang menawarkan diri daripada 86 yang dicalonkan untuk merebut 18 jawatankuasa pusat PAS.

Tambahnya, pemilihan awal bulan depan menarik perhatian kerana buat pertama kali lapan  wanita menawarkan diri, lebih 30 peratus daripada kerusi yang diperuntukkan.

"Ada di kalangan mereka menjadi ahli parlimen dan Adun, jadi mereka semakin dikenali," katanya.

Mustafa berkata keputusan jawatan kanan parti akan diumumkan selewat-lewatnya pada pagi 6 Jun, hari kedua persidangan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Jawatankuasa pemilihan parti itu dianggotai 45 anggota. 

Lebih 1,000 perwakilan PAS dari 176 kawasan akan memeriahkan muktamarnya ke-55, khususnya menentukan calon nombor dua parti yang dianggap persaingan aliran pro-muqabalah dengan pro-Pakatan Rakyat.

Isnin, 25 Mei 2009

PAS: Husam sah cabar Nasharuddin

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa secara rasmi mengesahkan akan cabar Nasharuddin Mat Isa bagi jawatan timbalan presiden, kemungkinan besar dalam persaingan sengit tiga penjuru. 

Dalam pengumumannya di ibu pejabat parti itu tadi, beliau berkata gandingannya dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh menolong memajukan lagi parti. 

"Saya yakin bahawa gandingan yang mantap boleh membantu Datuk Seri Tuan Guru memimpin PAS terus-menerus menerokai kemajuan dan pembukaan sehingga berjaya dari segi politik menggantikan tempat Umno sebagai teraju utama negara pada masa akan datang," katanya.

husam musa pas annouce contest of number 2 post 250509 03"Penolakan ke atas Umno adalah kerana sifat perjuangannya yang memisahkan aktiviti pemerintahan daripada hitungan akhirat dan bimbingan wahyu, yang membawa kepada berleluasanya korupsi, penyelewengan dan salah guna kuasa serta hilang puncanya 
Umno dalam isu hubungan kaum dan agama di Malaysia."

Seorang lagi naib presiden Mohamad Sabu juga berminat jawatan nombor dua PAS. 

Beliau dijangka mengesahkan bertanding hari ini, tarikh akhir semua calon wajib berbuat demikian menjelang pemilihan parti di muktamar tahunannya di Shah Alam bermula 5 Jun ini.

Ditanya sama ada beliau muktamad menentang Nasharuddin dan Mohamad, atau masih sedia berkompromi, Husam berkata:

"Saya telah ambil masa yang sangat lama untuk buat keputusan ini, dan ini adalah hari terakhir. Jadi saya rasa ini adalah keputusan yang muktamad."

Mengulas hasratnya bertanding berkaitan dengan isu kerajaan perpaduan yang disarankan oleh Abdul Hadi, Husam berkata:

"Saya tidak mahu masuk kepada tajuk yang boleh mengelirukan. Saya hanya berkata bahawa, apa yang saya tuliskan (kenyataan media) itu bolehlah saudara tafsirkan dengan bentuk positif.

"Iaitu suasana semasa adalah kritikal dan saya tidak ada pilihan, saya meletakkan satu petanda dalam bentuk pertandingan ini."

Ditanya berhubung dakwaan beliau seorang pemimpin liberal, Husam berkata:

"Saya menganggap penyandang jawatan sekarang (Nasharudin) juga liberal tetapi terlalu liberal (condong) kepada Umno adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Pada pendapat saya, PAS perlu berada di tengah, bukan bersikap terbuka kepada Umno atau untuk menyelamatkan Umno."

Sementara itu, Husam juga berkata pandangan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din "bersifat peribadi" dan tidak mewakili keseluruhan pandangan PAS.

"Setahu saya kertas kerja tersebut adalah kertas kerja peribadi beliau. Dalam seminar tersebut, ia tidak diterima sebagai kertas kerja yang diterima bersama.

"Jadi proses itu (mekanisme baru) panjang lagi. Kalau dalam seminar tersebut belum diterima, saya rasa tak payah diulas secara panjang lebar," katanya.

Sabtu lalu, tokoh ulama itu memberi amaran kepada parti agar berwaspada terhadap pemimpin-pemimpin PAS yang ditaja oleh musuh - termasuk oleh Umno atau negara asing - yang mengambil kesempatan dalam pemilihan kali ini.

Beliau kemudian mencadangkan kepada PAS agar mengetatkan mekanisme pemilihan parti bagi menyekat kemaraan pemimpin seumpama itu. 

Diminta mengulas lanjut, Husam berkata: "Kalau parti sudah membuat keputusan, perubahan tersebut saya akan patuh. Setakat ini saya tidak tahu ada perubahan ataupun tidak. Kena tanya Datuk sendiri." 

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar juga mengesahkan bertanding jawatan naib presiden. 

Seramai 16 pemimpin dicalonkan untuk merebut tiga jawatan kanan tersebut. 

Bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan jumlah sebenar mereka yang berminat.

Parti itu akan mengumumkan pemimpin-pemimpin yang ingin bertanding dalam satu sidang akhbar khas, esok.

Pertandingan PAS kali ini disifatkan persaingan dua aliran besar - satu pro-rundingan dengan Umno dan satu lagi pro-kerjasama dalam Pakatan Rakyat. 

Nasharuddin - yang terlibat sendiri dalam satu rundingan sulit dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, waktu itu presiden Umno, sejurus selepas pilihanraya umum tahun lalu - dikategorikan dalam kumpulan yang bertentangan dengan Husam.

Exco kerajaan Kelantan itu dikatakan lebih menyenangi idea mengukuhkan kedudukan PAS dalam gabungan pembangkang.

Sabtu, 23 Mei 2009

DUN Penanti: Empat layak tanding, satu pencalonan ditolak


CALON DI PENANTI... Mereka yang turun gelanggang pilihan raya kecil DUN Penanti (dari kiri) pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris; Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah dan Pengurus syarikat yang juga bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti Nai Khan Ari Nai Keow.
CALON Bebas, Nai Khan Ari (empat dari kanan) bersama penyokongnya ketika tiba di kawasan pusat penamaan calon.
CALON PKR, Mansor Othman (tengah) bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.
CALON Bebas, Aminah Abdullah

BUKIT MERTAJAM: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang hanya melibatkan persaingan empat penjuru ekoran satu pencalonan ditolak.

Pencalonan Mohd. Saberi Othman, 49, ditolak, demikian diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahya mengumumkan status pencalonan pada pukul 11.50 pagi tadi.

SPR juga menerima enam bantahan.

Roslan berkata, pencalonan Saberi ditolak kerana tidak cukup syarat.

Beliau tidak mengulas lanjut manakala Saberi pula terus beredar dari kawasan penamaan calon tanpa memberikan sebarang komen.

Pengundian akan diadakan pada 31 Mei ini.

Setakat pukul 10 pagi tadi, lima orang ada menyerahkan kertas pencalonan masing-masing untuk bertanding kali ini - pilihan raya kecil keenam selepas Mac 2008.

Terdahulu laporan Bernama menyebut, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Aminah Abdullah, 56, merupakan calon pertama menyerahkan kertas pencalonannya sejurus selepas pusat penamaan calon dibuka pada pukul 9 pagi.

Berbaju kurung putih dan bertudung merah jambu, pencalonan Aminah sebagai calon Bebas itu dicadangkan oleh Yaacob Ali dan disokong Jamaliah Hashim.

Selepas Aminah, Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56, menyerahkan kertas pencalonannya diikuti tiga lagi calon Bebas iaitu ahli perniagaan, Saberi; pengurus syarikat NaiKhan Ari Nai Keow, 41, dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Pencalonan Mansor dicadangkan oleh Ibrahim Ahmad dan disokong Hasan Othman manakala Mohd Saberi dicadangkan oleh Talib Hamid dan disokong Rohayati Akop.

NaiKhan Ari dan Kamarul Ramizu pula masing-masing dicadang oleh Boon Sisawang Nai Choy dan Norizan Abdul Razak manakala pencalonan mereka disokong oleh masing-masing Nah Lee Boon Yoo dan Nor Halimah Ahmad.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan wakil rakyat kawasan berkenaan, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu.

Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada pilihan raya kecil ini kerana menganggap pilihan raya itu hanyalah satu permainan politik pembangkang dan bukan disebabkan keperluan mengikut kehendak perlembagaan.

Di kalangan empat layak yang bertanding ini, Mansor merupakan calon yang sudah tiga kali bertanding iaitu pada pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008 di Pulau Pinang tetapi kesemua usahanya gagal.

Dalam pada itu, Kamarul Ramizu pernah bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang bulan lalu.

Bagi Aminah, Saberi dan Nai Khan Ari, pilihan raya kecil DUN Penanti ini merupakan percubaan pertama mereka bertanding pada pilihan raya di negara ini.

Jumaat, 22 Mei 2009

Zambry pula diisytihar MB Perak yang sah

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan itu diumumkan kira-kira pukul 3.50 petang tadi, sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu.

Hakim Datuk Md Raus Shariff yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop berkata, pihaknya mendapati keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah adalah salah.

Katanya, Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam membuat interpretasi yang relevan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

"Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan telah gagal menilai dengan betul dan secukupnya kesemua keterangan yang ada padanya sehingga membuat keputusan yang salah," katanya.

Mohammad Nizar dan Zambry tidak hadir di mahkamah ketika keputusan diumumkan.

Dalam penghakiman lisannya, Hakim Md Rausjuga mendapati Sultan Perak Sultan Azlan Shah membuat keputusan yang betul berhubung pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar yang baru berdasarkan Perkara 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak selepas baginda berpuas hati bahawa Zambry mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Selain itu katanya, tiada syarat mandatori dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak bahawa undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar mesti dilakukan dalam Dewan Undangan Negeri dan ia boleh diperolehi atau ditentukan dengan cara lain.

Justeru, Hakim Md Raus berkata, tindakan Sultan Perak bertanya sendiri bagi memuaskan hati baginda bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti adalah betul.

Katanya, Mohammad Nizar juga seharusnya meletakkan jawatan apabila sultan tidak bersetuju untuk membubarkan DUN kerana kuasa untuk membubarkan dewan adalah kuasa Sultan.

"Kami berpendapat bahawa keputusan sama ada untuk membenarkan atau tidak permohonan pembubaran Dewan Undangan Negeri adalah dalam bidang kuasa Sultan.

"Berdasarkan keterangan dalam kes ini, permohonan membubarkan Dewan dibuat mengikut Perkara 16 (6) Perlembagaan Perak dan bukannya Perkara 36 Perlembagaan itu," katanya.

Selepas keputusan Mahkamah Rayuan diumumkan petang ini, peguam yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah, memohon mendapatkan penghakiman bertulis daripada mahkamah untuk tujuan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah bersetuju dengan permohonan itu.

Isu perundangan melibatkan Zambry dan Mohammad Nizar telah bermula sejak Februari lalu apabila Dr Zambry telah dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Mohammad Nizar selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan Perak daripada Pakatan Rakyat.

Berikutan itu, pada 13 Februari lalu, Mohammad Nizar memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Kemudiannya pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Zambry bagaimanapun membuat rayuan berhubung keputusan itu pada 12 Mei dan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga kes rayuan Zambry selesai.

Mohammad Nizar keesokannya pula membuat permohonan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu bagi penangguhan pelaksanaan itu.

Khamis, 21 Mei 2009

Status MB: Keputusan rayuan Zambry diketahui esok

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan akan memutuskan esok berhubung rayuan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Md Raus Shariff yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop akan membacakan keputusan itu pada pukul 3.30 petang esok.

Status MB: Mahkamah Rayuan dengar permohonan Nizar hari ini


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pagi ini mula mendengar permohonan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mengetepikan keputusan mahkamah itu yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Mahkamah mula bersidang pada pukul 9.40 pagi tadi dan kini sedang mendengar hujah daripada peguam kepada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Datuk Cecil Abraham.

Dr Zambry telah membuat rayuan berhubung keputusan itu pada 12 Mei lalu dan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga rayuan Dr Zambry terhadap keputusan itu selesai.

Barisan peguam kedua-dua pihak mula memasuki mahkamah pada pukul 9 pagi tadi.

Mohammad Nizar tiba kira-kira 15 minit kemudian bersama isteri dan beberapa penyokongnya.

Pasukan polis kelihatan mula melakukan kawalan sejak awal pagi.

Isu perundangan melibatkan Dr Zambry dan Mohammad Nizar telah bermula sejak Februari lalu apabila Dr Zambry telah dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Mohammad Nizar selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan Perak daripada Pakatan Rakyat.

Berikutan itu, pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Kemudiannya pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dr Zambry bagaimanapun membuat rayuan berhubung keputusan itu pada 12 Mei dan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga kes rayuan Dr Zambry selesai.

Mohammad Nizar keesokannya pula membuat permohonan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu bagi penangguhan pelaksanaan itu.

Husam tarik diri?

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dikatakan sedang dalam dilema samada bertanding atau tidak jawatan timbalan presiden dalam muktamar PAS akan datang ini.

Ini kerana, pendekatan laporan yang dibuat oleh media sekarang seolah-olah PAS berpecah kepada dua kumpulan iaitu ulama dan profesional.

Padahal, beliau dikatakan berpendapat, pertandingan kali ini adalah soal personaliti kepimpinan parti bukannya kumpulan-kumpulan dalam parti Islam itu.

"Dia bimbang, kalau dia bertanding dan menang, masyarakat beranggapan, PAS menolak ulama. Begitu juga sebaliknya jika dia kalah, persepsinya PAS menolak golongan profesional atau pelbagai lagi nama yang dicapkan kepada beliau itu," kata rakat rapat beliau kepada Siasah.

Bagi beliau, tidak ada pertembungan antara ulama dengan profesional dalam PAS tetapi media musuh telah mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan para pemimpin PAS ini dengan memberikan lebel-lebel kepada setiap pemimpinnya.

Ini menyebabkan, masyarakat mempunyai tanggapan yang salah.

"Misalnya kalaulah sungguh berlakunya pertembungan antara profesional dan ulama dalam PAS, maka sudah tentu banyak calon untuk jawatan presiden PAS.

"Tetapi yang banyak calon adalah untuk timbalan dan naib presiden. Jadi, ia hanya soal personaliti kepimpinan sahaja," kata sumber itu.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilih PAS, Datuk Mustafa Ali memaklumkan, lima nama layak untuk bertanding jawatan timbalan presiden dan 16 layak untuk jawatan naib presiden.

Sehingga kini, Husam mempunyai masa sehingga 25 Mei (Isnin) untuk membuat keputusan sama ada untuk bertanding atau tidak.

"Kalau dia bertanding pun adalah kerana dia kesal dengan serangan terhadap beliau dan tidak mahu menghampakan pencalonan yang begitu banyak terhadap beliau," kata sumber itu.

Sementara itu, jika Husam bertanding, pertandingan dijangka akan berlaku tiga penjuru untuk jawatan timbalan presiden selepas Datuk Seri Azizan Razak telah mengumumkan penolakannya.

Mereka adalah Nasharudin Mat Isa (timbalan sekarang), Mohamad Sabu dan Husam. Datuk Dr Haron Din, yang turut layak bertanding, sebagaimana sessi-sessi lepas tidak akan bersedia jika ada pertandingan berlaku.

Mohamad Sabu sudah bertegas akan tetap akan bertanding dan tidak akan menerima sebarang kompromi lagi.

Selasa, 19 Mei 2009

Nizar berpeluang mengadap Tuanku Raja Nazrin


YAB Dato' Seri Hj Nizar berpeluang mengadap Tuanku Raja Nazrin tengahari tadi di Istana Iskandariyyah selepas selesai Majlis Anugerah Pingat & Bintang. Demikian dinyatakan oleh Hj Nizar dalam taklimat ringkasnya di Mesyuarat Perhubungan PAS Perak tadi.

Dalam kesempatan yang singkat itu, digunakan oleh Hj Nizar bagi memohon maaf bagi pihak PR dan rakyat Perak sepanjang tiga bulan sebelum ini sekiranya apa sahaja insiden yang berlaku mengguris hati Tuanku.

Beliau juga bagi pihak PR mengucapkan takziah di atas kemangkatan Kekanda Tuanku Sultan Azlan Shah yang juga bapa saudara Raja Nazrin.

Kesempatan itu juga digunakan oleh Dato' Seri secara berterus terang dengan penuh berhimah memberi pandangan-pandangan terhadap senario dan kemelut politik di Perak. Dato' Seri merayu supaya Tuanku memberi penghormatan kepada rakyat untuk memilih semula kerajaan di negeri Perak, kerana melalui pembubaran DUN sahajalah kemelut ini akan berakhir.

Pakatan Rakyat akan menghormati pendirian dan keputusan rakyat yang samada memilih Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional. Dato' Seri juga memberi pandangan supaya tidak ada sidang DUN diadakan dalam tempoh terdekat selagi kemelut politik ini belum berakhir, beliau memberi gambaran insiden sidang DUN 7 Mei yang lalu dibimbangi akan berulang semula sekiranya sidang DUN diadakan juga, dan ianya akan hanya memalukan imej Tuanku dan negeri Perak.

Sebelum ini beliau juga memberi pandangan kepada Sahibus Samahah Dato' Seri Mufti Perak tentang kemelut 
politik di Perak, beliau merayu supaya Dato' Mufti turut memainkan peranan dengan membantu agar penyelesaian kemelut politik melalui pembubaran DUN.

Pertemuan singkat antara YAB Dato' Seri Hj Nizar dengan DYTM Raja Nazrin merupakan pertemuan yang cukup berharga walaupun pertemuan tidak rasmi. Mesej rakyat yang mahukan DUN dibubarkan telah disampaikan oleh Hj Nizar. Kini, semuanya terserah kepada Tuanku, mesej rakyat telahpun disampaikan oleh Dato' Seri Hj Nizar. Diharap rakyat terus solat Hajat dan bermunajat mudah-mudahan dilembutkan hati Tuanku bagi memperkenan DUN Perak dibubarkan.

Isnin, 18 Mei 2009

Hadi: Tiada politik wang dalam PAS

PAS menafikan wujud amalan politik wang dalam parti itu selepas jawatankuasa hariannya mendengar penjelasan ketua Dewan Ulama, Datuk Mohamed Daud dalam mesyuarat pagi ini.

"Sebarang usaha untuk menembuskan bantera PAS melalui politik kotor terbukti selama ini telah gagal. Kita yakin PAS tidak akan dapat ditembusi dengan amalan politik wang," kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

kuala terengganu by election pakatan ceramah perdana 060109 hadi awangMesyuarat dewan harian juga mengambil laporan daripada ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh, pengarah pilihanraya parti Datuk Mustafa Ali dan beberapa pemimpin kanan.

"Setelah kita mengumpulkan maklumat dari semua negeri kita dapati tidak ada amalan politik wang dalam PAS," kata Abdul Hadi lagi dalam satu kenyataan.

Dalam satu sidang media mengumumkan calon-calon yang layak bertanding bagi tiga sayap utama PAS, Mustafa berkata, beliau tidak menerima laporan mengenai politik wang dalam pemilihan parti itu.

"Tidak ada orang yang bercakap dan tiada juga yang datang mengadu mengenai politik wang," katanya sebagai pengerusi jawatankuasa pemilihan PAS di Kuala Lumpur hari ini.

"Kalau orang nak mengadu, mesti ada bukti. Kalau tiada, saya tidak layan."

Mustafa ditanya mengenai dakwaan rasuah menjelang pemilihan parti itu bulan depan seperti laporan awal yang memetik Mohamed sebagai berkata ada pihak memberi baju T dan mengadakan jamuan makan menjelang mesyuarat agung.

Bagaimanapun, ketika hubungi 
Malaysiakini minggu lalu, Mohamed berkata beliau tidak mempunyai bukti sahih wujud amalan tersebut tetapi hanya difahamkan berlakunya dua amalan tersebut.

"Kalau ada berlaku, minta dihentikan. Kalau tak ada, alhamdulillah," nasihatnya.
 
Ditanya sama ada beliau menyelidiki perkara tersebut, Mohamed berkata: "Tidak."

Rabu lalu, 
Bernama melaporkan, beliau melahirkan rasa kecewa terdapat unsur-unsur mengejar jawatan secara tidak sihat seperti dua amalan tersebut kepada perwakilan semata-mata mahu dipilih sebagai calon.

"Memanglah dah bagi baju, dah sudah kenyang makan, boleh menanglah calon itu tetapi budaya ini sangatlah tidak sihat dan kita mahu ia dihentikan segera," katanya seperti dilaporkan.

Dalam kenyataan yang sama, Abdul Hadi juga mengulang sikap PAS yang tidak meminggirkan golongan profesionalnya dalam konsep kepemimpinan ulamanya.

"Semua pihak ini telah berjaya memperkasakan PAS dengan konsep islam, dalam masa yang sama PAS diterima oleh masyarakat majmuk di Malaysia," katanya.

Nizar mohon kesnya didengar lima hakim Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mengemukakan permohonan bagi mendapatkan panel lima hakim Mahkamah Rayuan untuk mendengar permohonannya mengetepikan keputusan mahkamah itu minggu lepas yang membenarkan penangguhan pengisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Peguam Leong Cheok Keng, yang mewakili Mohammad Nizar, ketika dihubungi berkata, surat permohonan itu telah dihantar melalui faks ke pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan di sini, pada pukul 4 petang tadi.

Alasan permohonan itu ialah kerana kes tersebut, yang ditetapkan pendengarannya Khamis ini, membabitkan kepentingan awam, selain melibatkan isu dan persoalan perlembagaan, katanya.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Ab Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana mendapati Mohammad Nizar tidak pernah mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Berikutan keputusan itu, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengemukakan permohonan penangguhan pelaksanaan pengisytiharan itu yang telah didengar dan dibenarkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali.

Mohammad Nizar kemudian memfailkan permohonan Rabu lalu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Harun kembali terajui Ulama PAS

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib mengetuai semula Dewan Ulama apabila menang tanpa bertanding bagi jawatan  tersebut dalam satu pengumuman hari ini. 

Jawatan ketua Dewan Pemuda PAS pusat pula bakal  menyaksikan pertandingan dua penjuru - Nasrudin Hassan dan Zaki Ibrahim.

Manakala pertandingan bagi jawatan ketua Dewan Muslimat bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru - Nuridah Mohd Salleh, Dr Mariah Mahmud, Dr Asiah Ali dan Azizah Khatib Mat. 

pas muktamar ke 55 annual general assembly 55 180509Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed pula menang tanpa bertanding bagi jawatan naib ketua Dewan Ulama.

Manakala jawatan timbalan ketua dewan tersebut, penyandangnya, Hashim Jasin - ADUN Sanglang - akan berdepan dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob.

Seramai 41 orang dicalonkan untuk bertanding jawatan ahli jawatankuasa pusat dewan berkenaan, antaranya, ahli Parlimen Baling, Taib Azamuddin Md Taib dan Datuk Mohamad Daud Iraqi.

Bagi Dewan Pemuda pula, lima orang dicalonkan masing-masing untuk bertanding jawatan timbalan dan naib ketua.

Manakala bagi Dewan Muslimat pula, empat orang dicalonkan untuk bertanding jawatan timbalan ketua dan tiga orang untuk naib ketua.

Bagi jawatan timbalan ketua 
Dewan Pemuda, lima orang dicalonkan termasuk anak kepada Mursyidul Am PAS - Nik Abduh Nik Aziz.

Empat lagi ialah setiausaha dewan Pemuda, Ahmad Sabki Yusof; Azman Shapawi Abd Rani (naib ketua sekarang); Musoddak Ahmad (exco) dan Nasruddin.

Nik Abduh, Ahmad Sabki dan Azman Shapawi juga antara lima orang yang dicalonkan bertanding jawatan naib ketua Pemuda.

Tiga lagi ialah  exco dewan tersebut, Firdaus Jaafar dan ketua penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat.

Seramai 45 orang dicalonkan sebagai ahli jawatankuasa pusat Pemuda, termasuk ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad; ketua Pemuda Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil; pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Taufek Abdul Ghani; timbalan ketua Pemuda Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah; bekas ketua Pemuda PAS Perak, Norazli Musa.

Ahmad Sabki, Nik Abduh dan Suhaizan turut dicalonkan bertanding AJK.

Bagi 
Dewan Muslimat pula, empat orang dicalonkan bertanding jawatan timbalan ketua, termasuk penyandangnya, Wan Hasrina Wan Hassan. 

Dr Siti Mariah dan Azizah yang dicalonkan untuk ketua, turut dicalonkan bagi merebut jawatan timbalan bersama dengan ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusof.

Tiga orang dicalonkan bertanding jawatan naib ketua Muslimat, iaitu Senator Mumtaz Md Nawi, Siti Zailah dan exco kerajaan Kelantan, Wan Ubaidah Omar.

Manakala 39 orang dicalonkan untuk jawatankuasa pusat dewan berkenaan termasuklah ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali; exco kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali dan anak bekas presiden PAS, Nurul Huda Yusof Rawa.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Mustafa Ali, ketika mengumumkan senarai pencalonan di atas berkata mereka mesti menjawab penerimaan pencalonan selewat-lewatnya pada 25 Mei ini.

Beliau  yang juga pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, borang tersebut dihantar kepada semua calon mulai hari ini.

“Kelazimannya kita jangka ada calon yang menarik diri dari pencalonan. Orang yang tidak menjawab bermakna mereka tidak berminat,” katanya.

Mustafa juga berkata, jumlah pencalonan yang diterima individu yang dicalonkan, tidak boleh diberitahu kepada umum.

Katanya, pemilihan dalam PAS lebih adil daripada pilihanraya yang dibuat oleh suruhanjaya pilihanraya (SPR).

Mustafa berkata, jumlah perwakilan negeri ialah lebih 200 orang dan perwakilan kawasan pula hampir 2,000 orang.

Muktamar PAS akan diadakan dari 4 hingga 7 Jun di Stadium Malawati, Shah Alam. 

Bubar DUN Perak hanya khabar angin

Menteri besar BN hari ini menafikan desas-desus kononnya DUN Perak akan dibubarkan dalam masa terdekat dan menyifatnya sebagai satu khabar angin yang sengaja dimainkan oleh pembangkang.

"Biarlah ia kekal sebagai khabar angin buat mereka kerana kita tahu memang itu (bubarkan DUN) yang mereka inginkan," kata Datuk Seri Zambry Abdul Kadir selepas majlis perasmian sambutan Jubli Perak dan hari anugerah cemerlang sebuah sekolah agama di Bota hari ini.

Bernama melaporkan lagi, apabila ditanya sama ada satu sidang tergempar DUN Perak akan diadakan pada minggu depan, Zambry berkata: 

"Itu juga saya anggap sebagai khabar angin."

Katanya, beliau telah mengutus sepucuk surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memohon peruntukan segera sebanyak RM50 juta bagi pembangunan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh. 

Peruntukan itu antara lain akan digunakan untuk memanjangkan
landasan lapangan terbang itu sepanjang 200 meter lagi dari 1,798 meter ketika ini untuk membolehkan pesawat jenis Airbus mendarat di situ, tambahnya.

"Saya anggap ini sebagai satu projek berimpak tinggi yang memerlukan keputusan segera daripada pihak kerajaan dan saya harap perdana menteri akan memberikan kelulusan sebaik sahaja beliau menerima surat saya," Zambry dipetik berkata.

Zambry berkata kerajaan negeri sedang mengadakan perbincangan dengan AirAsia dan jika berjalan lancar, ia akan menjadi syarikat penerbangan kedua selepas FireFly beroperasi di lapangan terbang tersebut.

Beliau berkata AirAsia boleh menawarkan khidmat penerbangan Ipoh ke Singapura buat permulaan selain ke Medan dan Guangzhou pada masa akan datang.

BN enggan lawan PKR di Penanti

Seperti dimaklumkan lebih awal, Barisan Nasional tidak bersedia mencabar calon PKR pada pilihanraya kecil DUN Penanti yang bermula Sabtu ini, kata pengerusinya Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Perdana menteri juga menggariskan tiga sebab BN menolak untuk bertanding di kerusi tersebut. 

kerusi dun penanti pulau pinang 200409Pertama, kekosongan kerusi itu bukan diperuntukkan oleh perlembagaan tetapi satu usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya. 

Kedua, pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.

Ketiga, BN lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat dan langkah memulihkan ekonomi negara. 

Najib menafikan BN takut tewas di kerusi tersebut.

Beliau mengumumkan demikian selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur selama lebih dua jam bermula 4.30 petang. 

Keputusan BN itu tidaklah mengejutkan kerana sebelum ini, Najib pernah mengatakan BN mungkin tidak bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut kerana tidak mahu 'membazirkan wang rakyat'.

PKR pula telah menamakan timbalan pengerusi perhubungannya di Pulau Pinang, Mansor Othman untuk mengisi kembali kerusi tersebut yang dikosongkan oleh wakil rakyatnya, Mohammad Fairus Khairuddin.

Bekas timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang melepaskan kerusi tersebut 16 April lalu di tengah-tengah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Beliau bagaimanapun tidak didakwa di mahkamah selepas suruhanjaya itu mendapati tiada bukti kukuh untuk berbuat demikian.

Ditanya mesej yang ingin disampaikan BN kepada masyarakat, Najib berkata mereka "tidak mahu menari mengikut rentak pembangkang."

Jumaat, 15 Mei 2009

Sivakumar failkan saman terhadap Ganesan

IPOH: Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V.Sivakumar hari ini memfailkan saman terhadap Speaker Datuk R.Ganesan untuk menuntut ganti rugi serangan dan serang sentuh, ganti rugi salah penahanan dan ganti rugi teruk.

Writ saman itu difailkan melalui Tetuan Chan & Associates pada 11.45 pagi di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh di sini.

Dalam writ saman itu, Sivakumar juga memohon injunksi bagi menghalang defendan atau pekerja atau ejen Ganesan daripada menafikannya daripada memasuki persidangan DUN atau melarang atau menyekatnya dalam apa jua cara daripada memegang jawatan atau menjalankan tugas beliau sebagai Speaker DUN yang sah.

Beliau juga memohon satu lagi injunksi bagi menghalang sebarang penderitaan, serangan atau pemukulan yang seterusnya oleh Ganesan atau pekerja atau ejen defendan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Sivakumar mendakwa beliau masih merupakan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh dan Speaker DUN.

Beliau juga mendakwa defendan bukan seorang anggota yang diundi sebagai Adun maka kehadiran defendan di sebarang persidangan DUN merupakan satu penghinaan DUN.

Sivakumar turut mendakwa pada 7 Mei lepas, kirakira 2 petang ketika beliau sedang mempengerusikan suatu mesyuarat DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan dengan sahnya menduduki kerusi beliau di persidangan itu, pekerja atau ejen defendan telah menyerangnya dengan menangkap beliau dengan ganas, mengheret dan secara keras mengusirnya dari dewan itu atas arahan defendan.

Beliau mendakwa semasa ketidakhadirannya secara paksaan, defendan telah secara salah menjawat dirinya sebagai Speaker yang menduduki kerusi Speaker dan memakai pakaian rasmi Speaker.

Sivakumar juga mendakwa beliau dikurung oleh pekerja atau ejen defendan secara tidak sah di sisi undangundang di dalam sebuah bilik dalam bangunan tersebut selama lebih dari sejam sebelum beliau dibebaskan.

Disebabkan kesemua dakwaan tersebut, Sivakumar telah dihindar daripada menjalankan tugas dan kewajipannya sebagai Speaker DUN yang sah dan telah mengalami kejutan, kesakitan dan kecederaan, kerugian dan kerosakan serta telah dilucutkan kebebasannya seperti dinyatakan. Beliau juga mendakwa mengalami tekanan mental, menanggung penghinaan dan rasa malu di kalangan awam.

Di dalam writ saman itu, Sivakumar juga mendakwa mengalami kecederaan iaitu lebam di berbagaibagai bahagian badan, kesakitan dan ketidakselesaan di seluruh badan, kekejutan, gelisah dan kesengsaraan mental serta kerosakan kepada sut dan jubah rasmi yang dipakainya sebagai Speaker pada ketika itu.

Beliau turut menuntut kos dan relief yang difikirkan adil dan saksama oleh mahkamah.BERNAMA

Khamis, 14 Mei 2009

Hadi menang presiden, 5 layak tanding timbalan


KUALA LUMPUR, 13 Mei:Datuk Seri Abdul Hadi Awang bolehlah dikira menang tanpa bertanding sebagai presiden PAS apabila hanya beliau sahaja yang mendapat pencalonan lebih dari satu dan layak untuk bertanding jawatan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, sehingga tarikh tutup 8 Mei lalu, hanya nama beliau dikira layak untuk bertanding jawatan itu.

Mustafa memaklumkan, surat tawaran untuk bertanding telah dihantar kepada Abdul Hadi dan beliau mempunyai masa sehingga 25 Mei untuk membuat keputusan.

Untuk jawatan timbalan presiden pula, ada lima calon yang layak bertanding iaitu mereka yang mendapat pencalonan sekurang-kurangnya dari dua kawasan PAS.

"Nama-nama mereka akan diumumkan dalam sidang akhbar Sabtu 16 Mei nanti," kata Mustafa.

Bagi jawatan naib presiden pula, 16 calon layak untuk bertanding manakala untuk AJK PAS Pusat pula, 85 pemimpin layak untuk bertanding.

Bagi jawatan-jawatan dalam Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat pula, tarikh tutup pencalonan adalah 15 Mei ini.

Beliau juga memaklumkan, 137 kawasan telah membuat pencalonan untuk muktamar kali ini.

Rabu, 13 Mei 2009

Mahkamah Rayuan dengar rayuan Nizar 18 Mei ini

PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 18 Mei ini untuk mendengar rayuan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi.

Tarikh itu ditetapkan selepas Mohammad Nizar memfailkan notis usul itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di sini pada 2.20 petang melalui firma guaman Tetuan Leong & Tan.

Kelmarin Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ialah Menteri Besar Perak yang sah.

Turut disertakan bersama notis usul itu ialah sijil supaya kes itu disegerakan.

Bagaimanapun Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali hari ini membenarkan Datuk Seri Dr. Zamry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mengisytiharkan Mohamad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dalam afidavit sokongannya, Mohammad Nizar berkata keputusan Mahkamah Rayuan semalam untuk memberikan perintah penggantungan itu kepada Zambry adalah salah dan beliau (Nizar) mengemukakan permohonan untuk membetulkan perkara itu.

Mohammad Nizar berkata Mahkamah Tinggi telah membuat takrif yang betul terhadap Perkara 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Beliau berkata sekiranya perintah pelaksanaan itu diberikan ia akan merampas haknya serta membuat keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkannya menteri besar Perak sebagai siasia.

Menurutnya perintah yang diperoleh Zambry itu akan mengganggu pelaksanaan secara lancar dan baik pentadbiran kerajaan negeri Perak selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Mohammad Nizar juga berkata perintah berkenaan akan mengelirukan rakyat negeri itu mengenai siapakah menteri besar yang sah serta menjadikan keadaan politik lebih tegang dan krisis perlembagaan lebih mendalam.

Selasa, 12 Mei 2009

Krisis di Perak: Umno tidak peduli apa terjadi kepada rakyat?

KEADAAN di Perak nampaknya semakin kusut. Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan yang diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut. Persoalannya adakah ini merupakan tindakan yang terbaik buat Umno atau sekadar mahu menunjukkan bahawa mereka sebenarnya angkuh.

Apabila sesebuah parti itu mahu memperjuangkan rakyat, parti itu sepatutnya lebih mengutamakan kesejahteraan rakyat. Kerana mahu merebut kuasa maka mereka mula bertindak mengikut perasaan. Rakyat sentiasa memerhatikan apa yang terjadi. Rakyat dapat menilai apa yanga berlaku.

Bermula dari rampasan kuasa menteri besar dan penyingkiran speaker secara tidak sah menampakkan lagi sifat rakus BN dalam menangani masalah yang membelenggu rakyat Perak.

Jika Umno ikhlas mereka sepatutnya mengutamakan kesejahteraan rakyat dari asyik berebut kuasa di Perak. Sidang Dun pada 7 Mei yang lalu bukan sahaja menunjukkan sikap Umno yang melanggar peraturan dan undang-undang yang kononnya mereka lah juara tetapi memalukan Malaysia di mata dunia. Dunia telah menyaksikan satu perkara yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara demokrasi apabila arahan speaker di ingkari. Kehadiran pihak polis dalam dewan atas arahan Umno menunjukkan bahawa polis bukan lagi bersikap berkecuali. Mereka bukan sahaja melanggar undang-undang disebalik lencana keselamatan mereka tetapi sanggup menjadi kuda tunggangan parti lain.


Penyelesaian bubar Dun adalah satu yang terbaik setakat ini kerana suasana sepanjang kemelut politik yang tidak menentu telah menggusarkan rakyat bukan sahaja di Perak malah di seluruh negara. Berilah kuasa kepada rakyat semula untuk memilih wakil mereka. BN dan Umno tidak perlu gusar jika parti mereka diterima oleh rakyat. Mereka perlu meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah parti yang yang mahu rakyat hidup dalam kesejahteraan. Jika mereka masih lagi terus berdegil dan bertindak untuk menghalang pembubaran Dun maka rakyat akan melihat mereka sebagai gila kuasa tanpa mempedulikan rakyat.

Keadaan ini akan merencatkan pembangunan Perak . Kerajaan yang ada terpaksa berdepan dengan masalah perlembagaan yang serius dan akhirnya rakyatlah yang menjadi mangsa. Rakyat akan terus mendendami Umno dan BN. Mereka akan bercerita sesama sendiri dan akan menolak Umno dan BN pada pilihan raya akan datang. Kebencian rakyat dan meluat dengan perbuatan Umno dan BN semakin sampai kepuncaknya.

Rakyat akan beranggapan jika perkara ini berterusan maka Umno dan BN lah yang patut dipersalahkan. Berilah rakyat sedikit ruang untuk mereka memilih sendiri pimpinan negeri mereka. Janganlah disekat hak rakyat. Kemelut ini sebenarnya mempercepatkan lagi Umno akan dikuburkan. Jadi fikir-fikirkanlah jika benar "Umno membawa kesejahteraan hidup untuk rakyat". Teruskanlah lagi konflik ini jika benar "Umno memang gila kuasa tanpa mempedulikan apa terjadi kepada rakyat"

Zambry masih MB, krisis Perak berlarutan

May 12, 09 10:00am
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam. 

Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Peguam utamanya, Cecil Abrahim berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan kerajaan pusat.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Hakim Ramly juga berkata mahkamah akan menetapkan tarikh awal untuk mendengar rayuan Zambry.
    
Katanya beliau berpuas hati bahawa terdapat keadaan khas untuk membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan itu kerana rayuan Zambry akan dianggap sebagai tidak berguna jika penangguhan itu tidak dibenarkan.

"Ini adalah kes yang amat unik kerana ia bukan sahaja melibatkan Dr Zambry dan Mohammad Nizar tetapi juga seluruh negeri Perak," katanya.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas memutuskan Nizar tidak mengosongkan jawatan sebagai menteri besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.
    
Pada 13 Februari, Nizar, 52, memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan yang beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah dan injunksi untuk menghalang Zambry daripada menjalankan tugasnya sebagai menteri besar.
    
Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas selepas pakatan DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi dalam pilihanraya umum ke-12, juga memohon diisytiharkan bahawa Zambry tidak berhak memegang jawatan menteri besar.
    
Pembangkang dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan 59 kerusi itu selepas tiga ADUN pembangkang keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas dan yang keempat keluar dari PKR dan menyertai semula Umno.
    
Sultan Azlan Shah kemudian meminta Mohammad Nizar meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan melantik Dr Zambry selepas mengisytiharkan BN mempunyai majoriti dalam Dewan.

Zambry memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan dan notis rayuan, 16 jam selepas Mohammad Nizar kembali menjadi Menteri Besar.
    
Berikutan keputusan itu, seorang daripada peguam yang mewakili Nizar, Ranjit Singh berkata mereka sedang menimbangkan untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi mengenepikan perintah penangguhan keputusan itu.

Nizar, Exco masuk pejabat

KAWAL...Pasukan FRU bersiap-sedia mengawal perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK)Perak sejak semalam.
BINCANG... MB Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berbincang dengan pihak polis sebelum memasuki bangunan SUK pagi tadi. Foto mStar Online Oleh:G.MANIMARAN

IPOH: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bersama lapan Exconya memasuki bangunan SUK pagi tadi - kira-kira 16 jam selepas mahkamah mengisytiharkan beliau Menteri Besar Perak yang sah.

Mereka dibenarkan melepasi pintu pagar bangunan itu, yang dikawal ketat oleh pasukan FRU sejak petang semalam, pada pukul 7.31 pagi.

Pasukan keselamatan hanya membenarkan Nizar dan Exco memasuki kawasan dalam premis tersebut. Media dilarang.

Ia merupakan urusan rasmi kedua sejak keputusan mahkamah petang semalam.

Tengah malam tadi beliau mempengerusikan mesyuarat Exco di pejabat PAS Perak, yang terletak berhampiran dengan bangunan SUK.

Turut bersama rombongan itu pagi ini ialah V. Sivakumar yang Khamis lalu disingkirkan oleh Barisan Nasional (BN) daripada kedudukan Speaker DUN.

Selepas berada di bangunan SUK kira-kira 15 minit Nizar keluar untuk menuju ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk menghadiri majlis pengurniaan pingat oleh Pemangku Raja Perak Raja Nazrin Shah Sultan Azlan Shah.

Pertandingan Formula Future Kebangsaan 2009