Selasa, 30 Jun 2009

Karpal: Hukuman tidak munasabah, satu penghinaan

GADUH...Ketua Pemuda UMNO Bahagian Serdang, Ungku Md Salleh Ungku Abd Jamal (dua dari kanan) bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gombak, Megat Zulkarnain Omar Din (empat dari kanan) dihalang oleh petugas keselamatan Parlimen ketika bertengkar dengan Anggota Parlimen Puchong, Govind Singh Deo di perkarangan bangunan Parlimen. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh menyifatkan hukuman denda RM1,000 ke atas empat pemimpin Pemuda Umno Selangor yang didapati bersalah dalam insiden mengepung beliau hujung Februari lalu sebagai tidak munasabah.

Malah Karpal juga menyifatkan syor agar beliau dan tujuh anggota Dewan Rakyat termasuk tiga ahli Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat yang tidak menghadiri prosiding agar dikenakan 'hukuman' dalam bentuk pencelaan sebagai "satu penghinaan terhadap wakil rakyat."

"Syor agar tujuh anggota Dewan Rakyat ini dikenakan pencelaan adalah satu penghinaan," kata beliau pada sidang media di bangunan Parlimen tengah hari ini. Beliau mengulas kandungan laporan Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat yang diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen hari ini.

Sehubungan itu beliau berharap laporan tersebut akan dibahaskan di Dewan Rakyat Khamis ini.

"Jangan setakat bentangkan laporan ini, bahaskan...saya berharap ia akan dibahaskan," katanya.

Karpal berkata, di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan seseorang yang melakukan kesalahan sedemikian boleh dihukum penjara tujuh tahun.

Justeru, katanya, jawatankuasa itu seharusnya mengesyorkan keempat-empat mereka kepada Ketua Polis Negara untuk diambil tindakan susulan di bawah Kanun Keseksaan.

Katanya, jika laporan itu dibahaskan beliau akan meminta agar mereka dihadapkan di bawah Kanun Keseksaan.

"Hukuman RM1,000 yang disyorkan memberikan isyarat dan mesej yang salah...ia satu penghinaan kepada kami semua," katanya. Jawatankuasa itu menyiasat kejadian sekumpulan pemimpin Umno Selangor yang mengepung Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor ketika memasuki bangunan Parlimen.

Mereka yang didapati bersalah ialah Ketua Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, Latt Sharizan Abdullah; Ketua Pemuda Gombak, Megat Zulkarnain Omar Din; Ketua Pemuda Umno Shah Alam, Azahari Datuk Shaari dan Ketua Pemuda Umno Serdang, Ungku Md. Salleh Ungku Abd. Jamal.

Difahamkan mereka perlu membuat bayaran denda di Parlimen kerana hukuman diperuntukkan mengikut Seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Mereka melakukan kesalahan di bawah peruntukan Seksyen 9(e) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Dalam pada itu lapan anggota Dewan Rakyat termasuk tiga daripadanya ahli Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat dikenakan 'hukuman' pencelaan kerana enggan bekerjasama dan menyertai jawatankuasa itu.

Selain Karpal sendiri, mereka yang merupakan saksi ialah Fong Po Kuan (Batu Gajah-DAP), Lim Lip Eng (Segambut-DAP), N. Gobalakrishnan (Padang Serai-PKR), Fong Kui Lun (Bukit Bintang-DAP).

Ahli jawatankuasa yang tidak bekerjasama pula ialah Lim Kit Siang (DAP), Datuk Kamarudin Jaffar (PAS) dan R. Sivarasa (PKR).

Laporan jawatankuasa itu yang ditandatangani oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pandikar merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat

Gaduh di Parlimen: Pimpinan Ketua Pemuda Umno didenda


Ahli Parlimen Segambut,Lim Lip Eng dan N. Gobalakrishnan (PKR- Padang Serai) cuba meleraikan pergaduhan denga Pemuda Umno Selangor di bangunan Parlimen. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR Jun 30 2009: Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat mengenakan denda RM1,000 ke atas empat pemimpin Pemuda Umno Selangor yang mengepung Pengerusi DAP, Karpal Singh di Parlimen Februari lalu. Mereka ialah Ketua Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, Latt Sharizan Abdullah; Ketua Pemuda Gombak, Megat Zulkarnain Omar Din; Ketua Pemuda Umno Shah Alam, Azahari Datuk Shaari dan Ketua Pemuda Umno Serdang, Ungku Md. Salleh Ungku Abd. Jamal. Difahamkan mereka perlu membuat bayaran denda di Parlimen.

"Hukuman yang dikenakan ini adalah hukuman maksimum seperti yang diperuntukkan undang-undang mengikut Seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952. Mereka melakukan kesalahan di bawah peruntukan Seksyen 9(e) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Peruntukan itu berbunyi: "menyerang, menghalang atau mencela mana-mana ahli yang datang ke Majlis atau meninggalkan atau kerana kelakukannya dalam Majlis atau berusaha memaksa mana-mana Ahli dengan kekerasan, celaan atau ancaman untuk menyatakan dirinya menyokong atau menentang apa-apa cadangan atau perkara yang belum selesai di hadapan atau dijangkakan akan dibawa ke hadapan, Majlis".

Dalam pada itu lapan anggota Dewan Rakyat termasuk tiga daripadanya ahli Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat dikenakan 'hukuman' pencelaan kerana enggan bekerjasama dan menyertai jawatankuasa itu. Selain Karpal sendiri, mereka yang merupakan saksi ialah Fong Po Kuan (Batu Gajah-DAP), Lim Lip Eng (Segambut-DAP), N. Gobalakrishnan (Padang Serai-PKR), Fong Kui Lun (Bukit Bintang-DAP). Ahli jawatankuasa yang tidak bekerjasama pula ialah Lim Kit Siang (DAP), Datuk Kamarudin Jaffar (PAS) dan R. Sivarasa (PKR).

Laporan jawatankuasa itu yang ditandatangani oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Pandikar merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat. Sementara itu, jawatankuasa tersebut berkata, ia memandang berat tentang keengganan ahli-ahli Parlimen yang telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa untuk menyertainya dan enggan hadir sebagai saksi dalam prosiding.

"Bagi mengelakkan supaya perkara sedemikian tidak berlaku lagi pada masa hadapan, oleh yang demikian, jawatanlkuasa bersetuju supaya dikenakan pencelaan oleh Speaker kepada ahli-ahli berkenaan," katanya.

Dalam kejadian pada 26 Februari lalu, dua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Pemuda Umno Selangor 'menunjukkan fizikal kekuatan' dengan bergelut di bangunan berhubung isu Karpal mengeluarkan perkataan 'celaka'. Insiden itu bermula apabila 13 ahli dari Pemuda Umno dari Bahagian Petaling Jaya Utara dan Gombak mengepung Karpal yang baru tiba di pintu masuk utama ke bangunan Parlimen.

Latt Sharizan dan Megat Zulkarnain mengepung Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor sambil meminta Karpal mengakui ada menyebut perkataan "Pemuda Umno celaka" dan meminta maaf kepada mereka. Karpal bagaimanapun hanya mendiamkan diri dan meminta bantuan daripada pihak keselamatan berhampiran kawasan tersebut menolongnya. Suasana kelam-kabut di kawasan Parlimen itu bertambah kecoh apabila Lim dan Fong cuba mempertahankan Karpal.

Namun salah seorang daripada Ketua Pemuda terbabit, Zulkarnain menarik baju ahli Parlimen Segambut itu. Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya disekat anggota polis dan pasukan keselamatan Parlimen manakala Karpal segera dibawa masuk ke menara Parlimen. Namun, keadaan panas semula apabila Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo keluar dari bangunan Parlimen dan mencabar Pemuda Umno berdepan dengannya.

Jumaat, 26 Jun 2009

Kematian mengejut bintang ternama Michael Jackson dan Farah Fawcett

Michael Jackson

LOS ANGELES:Dunia hiburan hari ini digemparkan dengan berita kematian penyanyi yang digelar "Raja Pop" Michael Jackson awal pagi tadi (waktu malaysia) dan juga bintang terkenal Farah Fawcett. Jackson, 50, bintang yang penuh sensasi dan kontroversi dan digelar “Raja Pop” merupakan satu ikon dan selebriti terkenal di dunia.

Kemasyuran Jackson pernah menjunam dan nama dia jatuh dari takhta berikutan skandal-skandal pelik yang dilakukannya.

Menurut satu sumber, Jackson meninggal dunia di hospital Los Angeles. Punca kematian Jackson dilaporkan sebagai serangan sakit jantung.

Farrah Fawcett

Jackson yang tidak bernafas apabila pasukan paramedik Jabatan bomba Los Angeles menjawab panggilan telefon dari rumahnya di Los Angeles kira-kira 12:30 tengahari waktu tempatan (1930 GMT), beritahu Kapten Steve Ruda kepada Los Angeles Times.

Pasukan paramedik cuba untuk merawat dia dan membawa dia ke Pusat Perubatan UCLA, jelas Ruda kepada media.

Capt. Steve Ruda berkata, anggota paramedik cuba menyedarkannya semula dan membawanya ke Pusat Perubatan UCLA.

Ratusan orang ramai berkumpul di luar hospital setelah mengetahui penyebaran berita kematiannya. Pintu masuk kecemasan di pusat perubatan UCLA yang berdekatan dengan rumah sewa Jackson telah di tutup dengan tali oleh pihak polis menggunakan pita polis.

Di New York Times Square, keadaan yang lengang menjadi kecoh dengan kehadiran orang ramai apabila berita kematian Michael Jackson dipancarkan di skrin, dan orang ramai mula menyampaikan berita kematian penyanyi kesukaan mereka itu kepada rakan-rakan melalui telefon bimbit.

Kematian Jackson membawa kepada satu pengakhiran tragis yang panjang, aneh, dan kadangkala kejatuhan palsu kariernya pada 1980-an. Penyanyi ini berjaya dikenali apabila lagu 'black and white' yang telah memecahkan halangan dalam perkauman di MTV, mengungguli carta-carta dan menyerlah di persembahan pentas.

Albumnya pada tahun 1982 yang turut menampilkan lagu-lagu hit seperti 'Beat It, Billie Jean dan lagu-lagu yang lain telah kekal sebagai album yang paling laris sepanjang masa dengan lebih 26 juta salinan terjual.

Pada 2005, dia telah dikenakan tindakan atas mencabul seorang pesakit kanser yang berumur 13 tahun di Neverland pada 2003. Dia juga telah dituduh mencabul seorang budak lelaki dan kes itu menjadi punca kejatuhan pada kerjaya dan imejnya malah dia telah menghadapi masalah kewangan yang serius.

Sementara itu, Fawcett yang merupakan bintang The Charlie's Angels meninggal dunia ekoran kanser. Mendiang berumur 62 tahun. AP

Sup Luarbiasa, Tingkatkan Stamina. Mahu Cuba? Jangan...


Healthy Soup’ dipercayai dapat meningkatkan stamina dan keperkasaan seorang lelaki. Anda nak cuba? Jangan.. Lihat betu-betul gambar di dalam senduk itu. Daging apa? Hee, itu kepala janin, bayi manusia berumur 6–8 bulan, dapat dibeli per porsi seharga 3000-4000 RMB matawang Taiwan. Orang makan orang!!



Menurut tinjauan dari seorang penulis Taiwan, yang menemui seorang pengusaha dari daerah Tong Wan,Taiwan, mengaku sebagai pelanggan tetap ‘Healthy Soup’. Lelaki berusia 62 tahun menjelaskan khasiat ‘Healthy Soup’ ini ialah boleh berhubungan seks dan tahan beberapa kali dalam satu malam, walaupun umurnya sudah begitu. Sebuah restoran lain di kota Fu San, Canton, pula memberitahu makanan tersebut sukar di dapati dan tiada ‘ready stock’, apalagi jika perlu disajikan secara fresh, bukan frozen. Tetapi kalau berminat waktu itu juga, mereka boleh menyediakan ari-ari bayi (plasenta) yang khasiatnya dapat meningkatkan gairah seksual dan juga ubat awet muda.

Juru masak restoran tersebut mengatakan jika memang inginkan Healthy Soup juga, dia menganjurkan untuk pergi ke sebuah desa di luar kota di mana ada sepasang suami isteri yang isterinya sedang mengandung 8 bulan. Diceritakan pula bahawa isterinya itu sebelumnya sudah pernah mengandung 2 kali, tetapi keduanya anaknya itu perempuan. Jika kali ini lahir perempuan lagi, maka ‘Healthy Soup’ dapat diperoleh dalam waktu yang dekat, darinya.


Bagaimana cara membuatnya? Kata penulis itu.. "Janin yang berumur beberapa bulan,
ditambah Pachan, Tongseng, Tongkui, Keichi, Jahe, daging ayam dan Baikut, di tim selama 8 jam, setelah itu dimasak selayaknya memasak sup." Tiba-tiba selepas beberapa hari kemudian, dia dapat maklumat, di Thaisan ada sebuah restoran yang mempunyai stok Healthy Soup. Dia pun pergi, begini ceritanya di bilik dapur..

"Di atas papan potong nampak janin tidak bernyawa itu, tidak lebih besar dari seekor kucing. Tukang masak menjelaskan janin tersebut baru berusia 5 bulan. Tidak dijelaskan berapa harga belinya, yang pasti itu tergantung besar-kecil, hidup-mati janin tersebut dan sebagainya. Kali ini, harga per porsi Healthy Soup 3,500 RMB kerana stok susah didapati.. Sambil menyiapkan pesanan kami, dia memberitahu janin yang keguguran atau digugurkan, biasanya mati, dapat dibeli hanya dengan beberapa ratus RMB saja, sedangkan kalau dekat waktu lahir dan masih hidup, boleh semahal 2.000 RMB. Urusan bayi itu diserahkan ke restoran dalam keadaan hidup atau mati, tidak ada yang tahu."
Menurutnya lagi, setelah selesai dimasak, disajikan panas di atas meja. Dia dan fotografernya sudah hilang selera makan kerana melihatnya di dapur. Menurut beberapa sumber, janin yang
dipesan semuanya adalah
 janin bayi perempuan. Apakah ini akibat daripemerintah China yang mewajibkan satu anak dalam satu keluarga bagai kawasan-kawasan yang padat penduduk? Apakah kerana manusia sudah jemu memakan daging binatang dan ingin mencuba daging manusia pula? (AK)


Isnin, 22 Jun 2009

Tidak ada lagi bincang kerajaan perpaduan - Presiden PAS

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Hrkh) - Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini menegaskan pihaknya menolak sebarang usaha membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri menyatakan, dalam isu Kerajaan Perpaduan, Umno telah menjalankan fitnah yang jahat dan dengan itu pihaknya bertegas tidak lagi mahu membincangkan pembentukan kerajaan tersebut.

Apa yang diusahakan sebelum ini disalah tafsir oleh kepimpinan Umno-BN untuk memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat semata-mata memecahbelahkan hubungan pakatan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media bersama Sekretariat Majlis Presiden Pakatan Rakyat di Bilik Ketua Pembangkang, Bangunan Parlimen hari ini.

ImageTurut hadir ialah, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dan Dato' Seri Nizar Jamaluddin.

Sementara di pihak KeADILan, Presiden, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan, Dr Syed Husin Ali; Naib Presiden, Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah; anggota MT KeADILan, Saifuddin Nasution, dan di pihak DAP pula, Setiausaha Agungnya, Lim Guang Eng; Dato' Ngeh Ko Ham.

Sementara itu, Anwar yang membacakan kenyataan mewakili Pakatan Rakyat menyebut, akatan Rakyat menolak pengwujudan kerajaan perpaduan.

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang," katanya.

Majlis pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan Perpaduan dengan Umno/BN, yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan serta tindakan terdesak Umno mengugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat, tegas Anwar.

ImageMenyokong pandangan itu, Salahuddin Ayub pula menyatakan kenyataan tersebut sebenarnya adalah muktamad dan ini bermaka tidak akan ada lagi 'unity talk' dengan Umno.

Malah Salahuddin kelihatan gembira dengan perkembangan itu yang seterusnya dilihat akan membuatkan Umno kelemasan.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Mahfuz pula memberi analogi bahawa 'Umno kini kehilangan tabung oksigen' apabila isu kerajaan perpaduan ini telah ditamatkan dengan kenyataan pimpinan pakatan.

Kenyataan itu juga sebagai satu usaha menutup talian hayat yang ada pada Umno/BN yang selama ini mengucarkacirkan pakatan dnegan penyelewengan isu kerajaan perpaduan, ujarnya.

Khamis, 18 Jun 2009

Muktamar khas PAS redakan isu k'jaan perpaduan

Ketuharun taib 270804a Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib mencadangkan satu muktamar khas diadakan bagi membincangkan cadangan kerajaanperpaduan kerana ia satu isu yang besar.

"Ini perkara besar dan baru, tidak boleh buat begitu sahaja... kena bawa ke peringkat akar umbi melalui muktamar khas. 

"Bila muktamar khas sudah bersetuju, baru kita boleh laksanakan," katanya seperti dilaporkan 
Bernama.

Beliau juga berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka memberikan penerangan secara terperinci kepada pemimpin-pemimpin parti itu berhubung cadangan berkenaan.

"Kita tunggu presiden pulang dari luar negara. 
Insya Allah, selepas
diberikan penerangan, kita bersedia turun padang menjelaskan mengenai perkara itu," kata Harun, yang baru dilantik pesuruhjaya PAS Terengganu.

Hari ini, dengan gaya penentangannya, mursyidul am PAS menggesa timbalan presidennya Nasharudin Mat Isa meletakkan jawatan tersebut dan juga melepaskan kerusi parlimen Bachok. 
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan rasa kesalnya terhadap kenyataan Nasharuddin semalam yang menyambut kesediaan perdana menteri untuk berbincang berhubung isu tersebut.

Bercakap selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan, menteri besar itu mengulangi penegasannya bahawa isu kerajaan perpaduan dibawa "boneka Umno" dalam partinya dan satu agenda BN untuk memecah-belahkan PAS dan juga Pakatan Rakyat. 

Dalam sidang media yang sama, 
Harakahdaily.net pula melaporkan, beliau bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia yang didakwa memutar belit kenyataannya.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya menggunakan perkataan 'nasihat saya mesti didengar' sebagaimana yang dilaporkan akhbar berkenaan bertarikh 15 Jun lalu. 

"Bukan watak saya memaksa orang lain mendengar cakap saya, bahkan ia bukan sejarah dalam hidup saya untuk berbuat demikian seperti disiarkan akhbar terbabit," Nik Aziz dipetik berkata. 
Dengan tajuk berita 'Boneka UMNO' nasihat awal - Nik Aziz', harian tersebut melaporkan Nik Aziz dipetik berkata "boneka Umno" hanya nasihat awalnya dan perlu didengar oleh pemimpin lain PAS.

Nik Aziz bagaimanapun menyifatkan berita itu "ditulis dengan memutarbelit kenyataannya, ditambah pandangan penulis sendiri", lapor akhbar web itu lagi.

"Saya telah menyerahkan kepada peguam hari ini untuk mengambil tindakan ke atas akhbar terbabit dan penulis rencana (surat pembaca) terbabit," katanya. 

Surat bertajuk 'Nik Aziz memutlakkan nasihatnya bercanggah hukum-hakam' diterbitkan semalam.

Rabu, 17 Jun 2009

Antara dua Tok Guru: Penjelasan dan penjernihan terhadap konsep Kerajaan Perpaduan

Wan Abdul Rahman Wan AB Latif

SEJAK Tuan Guru Presiden, Dato' Seri Abdul Hadi Awang memperkenalkan konsep kerajaan perpaduan, ia telah menimbulkan satu polemik seolah-olah terdapat perbezaan pemikiran yang serius antara Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Mursyidul Am, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Walhal, secara realitinya perbezaan pemikiran dan sikap dua orang Tok Guru ini adalah mainan media milik Umno/BN.

Iklan
 
 
  

Kedua-dua Tok Guru sedar akan sepak terajang politik bikinan Umno/BN kerana kedua-duanya pernah mentadbir negeri. Kedua-dua Tuan Guru sedar bagaimana Umno/BN telah menganaktirikan Kerajaan Kelantan dan Terengganu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedar (di awal pemerintahannya) betapa peritnya apabila Umno menghentikan bantuan subsidi input pertanian (baja) kepada para penanam padi yang menyebabkan Kerajaan Kelantan terpaksa mengeluarkan baja sendiri yang melibatkan kos jutaan ringgit.

Tuan Guru Abdul Hadi juga merasakan keperitan apabila wang royalti petroleum ditarik balik oleh Umno dan digantikan dengan wang ehsan.

Umno meyindir begitu hebat sekali seolah-olah kerajaan negeri Trengganu pimpinan Tuan Guru Abdul Hadi adalah begitu miskin sekali sampai peringkat meminta sedekah kepada Kerajaan Pusat.

Tidak mungkin kedua-dua Tok Guru lupa akan pengalaman-pengalaman pahit ini. Ini sekadar satu contoh. Banyak lagi diskriminasi yang terpaksa dilalui oleh kedua-dua Tok Guru semasa memegang jawatan Menteri Besar.

Kedua-dua Tok Guru yang warak dan begitu hampir dengan Allah senantiasa memanjangkan tangan persahabatan kepada Umno atas nama perpaduan ummah. Mereka berdua peka terhadap seruan Allah untuk ummat Islam senantiasa berpegang kepada tali Allah (iaitu Agama Islam) dan jangan berpecah-belah.

Tangan persahabatan dihulur dengan satu syarat yang amat penting iaitu perbincangan mengenai penyatuan ummah Melayu mesti menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan terpenting. Keenggangan Umno untuk menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan asas dalam perbincangan mengenai perpaduan ummah yang menyebabkan persoalan berkaitan dengan perpaduan ummah adalah persoalan yang tiada penghujungnya.

Apabila Tuan Guru Presiden melontarkan idea kerajaan perpaduan, ia menunjukkan betapa besarnya jiwa Tuan Guru Presiden yang seolah-olah bersedia untuk memaafkan Umno di atas segala kejahatan yang dilakukan ke atas beliau.

Lontaran idea ini bukan sahaja kepada Umno tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia atas keyakinan beliau bahawa sudah tiba masanya untuk Islam (melalui PAS) memimpin perubahan dan salah satu perubahan yang dimaksudkan ialah kerajaan perpaduan. Hujah ini adalah selari dengan hujah Tuan Guru Mursyidul Am.

Tuan Guru Presiden adalah ikhlas dalam mengetengahkan idea kerajaan perpaduan. Sekiranya Umno ikhlas dalam hal ini, tindakan segera yang Umno perlu lakukan ialah jangan bertanding dalam pilihan raya kecil Manik Urai pada 14 Julai 2009 nanti.

Sekiranya Umno terus bertanding, maka Umno yang sebenarnya berpura-pura mengenai kerajaan perpaduan dan bukannya kedua-dua Tok Guru yang mereka ingin lagakan.

Takrifan dan latarbelakang sejarah

Kerajaan Perpaduan dapat didefinisikan sebagai "satu kerajaan campuran yang besar terdiri dari semua parti politik (atau semua parti politik yang penting) yang berada dalam satu Dewan Perundangan (legislature) dan biasanya dibentuk dalam masa perang atau lain-lain keadaan dharurat yang dihadapi oleh sesebuah negara."

Dari takrifan ini ia memperlihatkan bahawa kerajaan perpaduan bukanlah merupakan satu struktur politik yang kekal. Ia bersifat sementara, iaitu ia diwujudkan dalam keadaan-keadaan yang kritikal (seperti semasa perang dan krisis ekonomi yang meruncing) bagi menjamin kelangsungan negara itu sendiri.

Ini bermakna perbezaan pandangan antara parti yang memerintah dan pembangkang perlu dikesampingkan. Atas dasar inilah kerajaan perpaduan adalah sebuah kerajaan yang tidak mempunyai pembangkang.

Ia boleh menjadi satu struktur politik dan pentadbiran yang kekal sekiranya Islam dijadikan bahan rujukan dalam segala aspek pentadbiran negara, atas kesedaran bahawa Islam adalah satu sistem yang syumul dan paling sempurna yang diturunkan oleh Allah untuk manusia.

Dari segi sejarahnya, penubuhan kerajaan perpaduan bukanlah sesuatu yang baru. Ia pernah ditubuhkan di negara-negara seperti Kanada, Israel, Kenya, Lebanon, Luxembourg, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Sebagai contoh, di UK kerajaan perpaduan telah ditubuhkan semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua. Semasa Perang Dunia Pertama, kerajaan perpaduan di bawah pimpinan David Lloyd George mampu bertahan sehingga 1922.

Begitu juga semasa Zaman Kemelesetan (Great Depression) ekonomi yang menimpa dunia, sebuah kerajaan perpaduan telah ditubuhkan di UK pada tahun 1931 antara Ramsay MacDonald, Perdana Menteri dari Parti Buruh dan Parti Konservatif dan Liberal. Kerajaan ini bertahan sehingga 1945.

Terdapat juga contoh-contoh terkini penubuhan kerajaan perpaduan. Sebagai contoh, Afrika Selatan. Antara 27 April 1994 dan 3 Febuari 1997, Kerajaan Afrika Selatan telah ditadbirkan oleh sebuah perlembagaan sementara.

Fasal 88 perlembagaan sementara ini mensyaratkan mana-mana parti politik yang mempunyai 20 atau lebih kerusi dalam Dewan Perhimpunan Nasional (National Assembly) boleh menuntut satu atau lebih portfolio kabinet dan boleh bergabung dalam kerajaan yang memerintah.

Kerajaan yang ditubuh ini dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Nasional atau Government of National Unity (GNU). Di bawah pimpinan Presiden Nelson Mandela, GNU berkembang dan berfungsi dengan baik.

Pada pilihan raya 27 April 1994, Parti Kongres Kebangsaan Afrika (African National Congress) pimpinan Mandela telah memenangi majoriti kerusi di Dewan Perhimpunan Nasional dan boleh menubuh kerajaan tanpa bantuan parti-parti lain.

Walau bagaimanapun, dua parti lain, Parti Nasional dan Parti Kebebasan Inkatha telah menerima pakai peruntukan GNU dan memperolehi beberapa portfolio kabinet.

Presiden Mandela turut mengundang parti-parti lain menyertai kabinet sungguhpun parti-parti ini tidak memperolehi 20 kerusi minima sebagaimana yang diperlukan untuk membolehkan mereka menyertai GNU. GNU bertahan sehingga 1999.

Contoh kedua ialah Israel. Israel merupakan negara moden yang paling banyak menggunakan pendekatan "kerajaan perpaduan" sebagai kaedah menyelesaikan masalah dalaman mereka.

Secara lebih spesifik, menyelesaikan pertembungan antara Parti Buruh dengan Parti Likud. Kerajaan perpaduan yang dibentuk ialah kerajaan campuran antara dua parti yang dominan ini. Terkini usaha-usaha sedang dijalankan bagi menyatukan Parti Likud dengan parti Kadima.

Berbeza dengan Afrika Selatan di bawah Mandela, kerajaan perpaduan Israel tidak menjemput parti-parti politik lain yang lebih kecil menyertai kerajaan yang dibentuk. Kerajaan perpaduan yang dibentuk di Israel mempunyai motif politik yang tersendiri iaitu hanya memikirkan survival bangsa Yahudi sahaja.

Halangan ke arah pencapaian

Bukanlah sesuatu yang senang untuk mewujudkan satu kerajaan perpaduan terutamanya dalam sebuah negara seperti Malaysia di mana nilai-nilai politiknya adalah sarat dengan nilai-nilai perkauman.

Memahami betapa terdapatnya halangan-halangan yang serius bagi penubuhan sebuah kerajaan perpaduan di Malaysia, maka Tuan Guru Presiden menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan hanya merupakan satu lontaran idea. Tidak lebih dari ini.

Sekiranya ada pihak-pihak yang berminat, maka penerokaan yang lebih mendalam terhadap idea ini bolehlah diteruskan. Antara perkara yang perlu dibincang ialah bagaimana untuk mengatasi halangan-halangan yang sedia ada bagi membolehkan idea kerajaan perpaduan dipraktikkan.

Di Malaysia, antara halangan yang wujud ialah pertama, peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan dan dasar-dasar kerajaan sedia ada yang dilihat oleh sesetengah pihak (termasuk parti politik) sebagai menghalang perpaduan. Peruntukan-peruntukan yang dimaksudkan ialah: Islam sebagai agama Persekutuan; hak istimewa orang Melayu; Perkhidmatan Awam (termasuk polis dan tentera); DEB, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan lain-lain. Apakah perkara-perkara ini perlu dipinda? Atau di mansuh?

Halangan kedua ialah sistem pilihan raya yang berteraskan first-past-the-post. Dapatlah dihujahkan di sini bahawa sistem pilihan raya yang berteraskan prinsip 'perwakilan berkadar' (proportional representation) adalah lebih selari dengan konsep kerajaan perpaduan.

Halangan ketiga ialah sistem Federalisme ikutan Malaysia di mana terlalu banyak kuasa tertumpu kepada Kerajaan Pusat. Apakah ini sesuai dengan perjalanan 'kerajaan perpaduan'?

Halangan ke empat ialah peranan Ketua Whip di Parlimen; ia perlu dipinda. Begitu juga dengan peranan BBC. Ini adalah kerana kewujudan institusi ini menyebabkan ahli-ahli parlimen terpaksa akur kepada keputusan partinya sungguhpun ada ahli-ahli parlimen dari parti ini tidak bersetuju dengan keputusan atau dasar yang dibuat oleh parti mereka sendiri.

Kerajaan Perpaduan: Peranan PAS

Atas sifat Islam amat mementingkan perpaduan, maka secara jangka panjangnya, PAS boleh mempelopori idea kerajaan perpaduan atas usaha dan gagasan berikut: Pertama, bergerak cergas bagi merealisasi prinsip loyal opposition.

Kedua, mengemukakan contoh-contoh dari sejarah Islam bagi membenarkan hujah bahawa merealisasi prinsip keadilan yang melangkaui pertimbangan perkauman adalah kaedah terbaik mewujudkan perpaduan nasional.

Ketiga, kerajaan perpaduan perlu berpegang kepada prinsip 'pengislahan sistem politik dan ekonomi secara progresif'.

Ke empat, pendekatan Fiqh Keutamaan (Qaradawy) sebagai rujukan asas.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada pengalaman negara-negara yang pernah bereksperimen dengan 'kerajaan perpaduan' memperlihatkan kepada kita bahawa kerajaan ini bersifat jangka pendek dan hanya bertahan semasa negara sedang mengalami suasana yang mencabar. Selepas keadaan kembali normal, ia tidak lagi relevan.

Sekiranya PAS masih berminat dengan idea kerajaan perpaduan, maka GNU pimpinan Nelson Mandela adalah model terbaik yang boleh dijadikan sebagai model dan perlu dikaji secara mendalam kesesuaiannya dalam konteks Malaysia.

Model ini sudah semestinya diterapkan dengan nilai-nilai Islam. Jangan juga lupa bahawa Sahifah Madinah yang dihasilkan oleh Rasulullah (saw) sendiri merupakan model terbaik kerajaan perpaduan. - mks.

(Penulis adalah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPPP). _

Selasa, 16 Jun 2009

Suara Hati Tuan Guru Haji Hadi di London Dan Penjelasan Idea Unity Goverment

"1. Habis kerja jam 3 pagi, aku bersiap untuk ke London dengan isteri. Tolong isteri buat bekalan makan. Solat subuh sekarang pukul 3.30 pagi. Tak boleh tidur takut terlajak, kerana bas 6 pagi. Lebih 4 jam perjalanan, sampailah kami di Kota London. 




Makan tengah hari di tengah padang Hyde Park di bawah mentari cerah. Rehlah sebelum dengar kuliah. Sampai di Corus Hotel di Bayswater Road tempat program tersebut, rupanya kami orang pertama yang sampai. Wow semangatnya gue!

2. Menanti rombongan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, aku bersembang tidak kosong dengan beberapa orang yang hadir. Melayu, India, Benggali dan Cina pun ada. Semua datang dengan seribu satu soalan. Macam semua nak nasihat agar Presiden PAS itu berhenti bercakap tentang `Unity Government'. Bersungguh benar mereka. Naik gabra aku dibuatnya.

3. Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang berucap ringkas. Sebab beliau tahu, ramai yang datang bawa dengan soalan. Bukan datang dengan telinga atau kaki yang tak bermata. Pertama, sebagai pemimpin sebuah parti politik Islam, mesej beliau tidak boleh lari daripada Islam itu sendiri. Itulah juga yang dinyatakan oleh beliau sewaktu bertemu dengan Lee Kuan Yew sebelum berangkat ke London. Walaupun yang datang dalam majlis itu pelbagai kaum dan agama, Presiden PAS itu terus menyampaikan butir-butir al Quran sebagai asas ucapannya. Itulah yang dicakap samada dalam Pakatan Rakyat, Barisan Nasional ataupun yang tak tahu apa-apa tentang politik.

4. Kedua, Islam mengutamakan pembangunan insan tanpa menafikan keperluan ekonomi sebagai keperluan kesejahteraan hidup. Ilmu pengetahuan, tamadun dan keperibadian tinggi itulah yang mewujudkan kebijaksanaan manusia untuk hidup dengan saling bantu membantu, berhubungan antara satu sama lain. Manusia tidak boleh hidup sendiri untuk memenuhi keperluan mereka. Oleh itu Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud,
'kebijaksanaan adalah barang tercicir milik orang beriman'.

5. Kebijaksanaan itulah yang menjadikan kita berkongsi tamadun dengan tamadun bangsa dan agama lain. Tamadun China yang menemukan teknologi alat letupan dan kertas telah digunakan oleh dunia untuk membangunkan ketenteraan dan meningkatkan keselamatan mereka. Tamadun Yunani purba tentang pentadbiran seperti demokrasi digunakan oleh dunia untuk mengurus masyarakat dan negara. Manakala tamadun dan perkembangan sains dan ilmu pengetahuan di Baghdad dan Andalusia juga dimanfaatkan oleh dunia.

6. Kerajaan Islam memanfaatkan semua tamadun dunia untuk membangunkan masyarakat sehinggalah terdiri sebuah kerajaan yang kuat dan maju. Akhirnya, kerajaan Islam yang kuat dan maju itu sedikit demi sedikit meninggalkan Islam sebagai sumber kekuatan mereka. Kerajaan Islam menjadi zalim, menindas rakyat dan menyebabkan pemberontakan berlaku. Dari bangsa Quraish yang dianggap bangsa terkuat, telah berpindah kepada bangsa Kurdis, kemudian kepada bangsa Mogul. Inilah yang pernah disebut oleh Imam Mawardi tentang ciri kepimpinan yang ketujuh;berbangsa Arab Quraish. Bukanlah Imam Mawardi menyatakan hanya Arab Quraish mempunyai darah kepimpinan tetapi sebenarnya ia merujuk kepada kualiti kepimpinan semasa yang memiliki pengaruh luas.

7. Tuan Guru Presiden ada sebut istilah 16 Sep sepintas lalu. Terus kepala aku menangkap ada benda di sebalik itu yang beliau tak mahu ulas lanjut.Tetapi bagi aku penting. Namun barangkali, ada yang lebih penting mengapa beliau tak ulas.

8. Masyarakat mula naik angin bila perut mereka diganggu. Otak sudah letak bawah kaki. Masalah riba, rasuah, untung atas angin, monopoli, manipulasi dan sebagainya. Semua itu ditentang oleh Islam. Dalam menentang amalan riba, al Quran mengisytiharkan perang kepada yang mengamalkannya. Tapi riba adalah amalan lumrah dalam ekonomi. Mengapa manusia tidak menentangnya, sebab perut mereka masih terisi. Mereka tidak kisah kalau timbul masalah sosial sebab kerangka otaknya adalah perutisme. Ini istilah aku pinjam dari Dr. Siddiq Fadhil.

9. PAS mempunyai pengalaman yang luas dalam kerjasama dengan parti-parti politik pembangkang dan kerajaan. Kemuncak kerjasama PAS dengan bukan Islam adalah dengan mewujudkan Kelab Penyokong PAS. Kemuncak kerjasama PAS dengan Umno ialah mewujudkan kerajaan campuran (1971) dan Barisan Nasional (1973). Tiada parti lain seluas pengalaman PAS di Malaysia dalam soal ini. Ini aku cakap.

10. Kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat adalah atas prinsip yang sama. PAS terus dengan dasarnya dan menghormati dasar parti rakannya yang lain. DAP keluar daripada Barisan Alternatif pada 2001, kerana tidak bersetuju dengan konsep negara Islam PAS. PAS tidak pernah berhenti dalam perjuangan yang melibatkan dasar parti . DAP dan PAS sekali lagi bertemu dalam Pakatan Rakyat yang diwujudkan selepas PRU12 .

11. Akhirnya, Tuan Guru bercakap tentang `Unity Government' . Menurutnya, konsep tersebut timbul sewaktu zaman Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM. Dasar terbuka Abdullah terhadap institusi kehakiman, langkah pencegahan rasuah, keterbukaan kepimpinannya membuka ruang idea itu dikemukakan. Abdullah Badawi memang awalnya berminat tentang idea tersebut tetapi tekanan dalaman Umno akhirnya menyebabkan beliau terpaksa berundur dari jawatan PM.

12. Apakah itu `Unity Government'? Senang untuk difaham tetapi mengapa payah nak reti? Sebenarnya, inilah yang disebut sebagai `negara tanpa pembangkang' yang pernah diamalkan di UK selepas Perang Dunia, diperkenalkan oleh Nelson Mandela selepas menamatkan dasar apartied di Afrika Selatan dan sekarang diamalkan di Indonesia. Konsep ini berusaha untuk menamatkan perbalahan politik yang merugikan negara. Tiada kaitan langsung PAS masuk Umno seperti yang dihebohkan oleh media dan ramai ahli dan sesetengah pimpinan PAS. Media memang akan memanfaatkan setiap ayat yang boleh dimanipulasikan untuk kepentingan mereka.

13. Habis tu mengapa ramai ahli dan sesetengah pemimpin PAS menentang? Sebabnya mereka memahami konsep itu dalam zaman pemerintahan Najib Tun Razak. Tuan Guru Presiden jelaskan bahawa konsep itu tidak relevan di zaman Najib. Namun, Tuan Guru tidak menolak untuk berbincang dengan sesiapa termasuk Umno. Seperti juga PAS tidak pernah menolak untuk berbincang dengan DAP, PKR dan pihak lain. Memang ada perbezaan pendapat dalam Pakatan Rakyat. Sama juga dalam PAS. Perbezaan pendapat bukan pergaduhan. Itu lebihnya dalam PAS. Mereka ada kebebasan suara.

14. Sambil menuding jari kepada Tuan Guru Presiden, mamat itu bertanya macam-macam. Kurang ajar betul (semangat sebenarnya) mamat ni. Lepas tamat majlis, mereka yang awal tadi tak puas hati dengan Tuan Guru nampaknya semakin jelas. Tiada jawapan yang skema dari Tuan Guru , tiada retorik atau janji politik kosong. Dia jawab dengan lurusnya sebagaimana ketika beliau menjawab soalan wartawan selepas muktamar. Bak kata Tuan Guru sebelum sesi soaljawab tu, yang boleh dijawab, dia jawab. Yang tak boleh, jangan temberang. Oleh kerana kami datang ingin mengetahui, kami faham. Kami dengar sendiri dari mulutnya. Sebaliknya

 

jika yang datang nak mencari kesilapan, mereka akan buat berita yang mengelirukan orang.

15. Memang ada soalan yang tidak dijawab dan tidak menjawab pertanyaan. Bagi aku itu bukan isu sangat. Aku tak sempat nak sembang meski satu ayat dengan Tuan Guru selepas program tamat. Tapi aku sembang dengan Dr. Shamsuri dan Hj. Asmuni yang datang sekali. Agak tidak panjang. Nanti aku cerita kemudian.

Daripada: Muhaimin Sulamat

Isnin, 15 Jun 2009

Nizar, 6 lagi digantung sidang parlimen

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mencetuskan drama lagi sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai anggota baru parlimen bagi Bukit Gantang pagi ini - melaungkan "hidup rakyat, bubar DUN".

Dengan tujuan menarik perhatian ramai berhubung perjuangannya untuk menuntut jawatan menteri besar Perak, yang dirampas BN dalam pertukaran kerajaan pada Februari lalu, laungannya itu disambut pula oleh anggota-anggota Pakatan Rakyat dalam dewan tersebut.

Akibatnya, menteri besar Pakatan Rakyat itu diperintah meninggalkan Dewan Rakyat bersama enam lagi ahli parlimen pembangkang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan berbuat demikian atas dakwaan "berkelakuan kasar".

nizar jamaluddin sworn in at parliament opposition mps disolve perak state adun headband incident 150609 07Mereka juga didakwa "melanggar etika berpakaian" apabila mengenakan kain lilitan kepala berwarna hitam dengan tulisan putih "Bubar DUN" di ruang persidangan. 

Mereka bertujuh turut digantung daripada menghadiri sidang dewan selama dua hari.

Selain Mohammad Nizar, mereka yang mengalami nasib yang sama: Datuk Ngeh Khoo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping), Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Dr Hatta Ramali (PAS-Kuala Krai), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai). 
Mohammad Nizar bersama Nga dan Ngeh - kedua-duanya bekas exco kerajaan Pakatan Perak - antara pemimpin yang paling aktif dan lantang menuntut dikembalikan kerajaan yang mereka pernah kuasai sejak Mac tahun lalu.

Mohammad Nizar memenangi kerusi parlimen terse
but dalam satu pilihanraya kecil 7 April lepas setelah ia kosong akibat kematian wakil rakyat PAS di situ, Roslan Shaharum.

Khamis, 11 Jun 2009

Mustafa Ali setiausaha agung baru PAS

Datuk Mustafa Ali hari ini dilantik sebagai setiausaha agung baru PAS manakala Dr Hatta Ramli kekal memegang jawatan bendahari.

Manakala bekas dua naib presiden - Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu - yang tewas dalam pertandingan jawatan timbalan presiden - dilantik menganggotai jawatankuasa PAS pusat.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Husam dan Mohamad dilantik sebagai AJK dengan tugas-tugas khas perancangan dan strategi parti.

Manakala bekas timbalan ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Idris Ahmad dilantik sebagai ketua penerangan.

Pelantikan mereka diputuskan dalam mesyuarat pertama jawatankuasa pusat di ibu negara hari ini.

mustafa aliMustapa menggantikan Datuk Kamaruddin Jaafar yang menang jawatan AJK dalam pemilihan di muktamar parti itu minggu lepas.

Pelantikan Mustafa, yang juga pesuruhjaya PAS Terengganu, sudah dijangka kerana beliau merupakan penyokong kuat idea-idea yang dibawa oleh Abdul Hadi, termasuk kerajaan perpaduan.

Beliau juga pengerusi akhbar rasmi PAS 
Harakah dan juga memegang jawatan pengarah pilihanraya PAS sebelum rombakan yang diumumkan hari ini.

Bagi jawatan pengarah pilihanraya dan pesuruhjaya Terengganu, kekosongan yang ditinggalkan Mustafa diganti masing-masing oleh Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Datuk Harun Taib. 

Abdul Halim, bekas timbalan menteri besar Kelantan itu, kini ahli parlimen Pengkalan Chepa. Manakala Harun yang kini ketua Dewan Ulama diberikan memimpin Terengganu sekali lagi.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas mesyuarat AJK itu, Abdul Hadi berkata mesyuarat tidak menyentuh langsung mengenai isu kerajaan perpaduan.

Ditanya mengenai perjumpaan sulit Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan beberapa pemimpin pemimpin yang menolak kerajaan perpaduan, Abdul Hadi berkata beliau "tidak tahu".

Beliau juga menyentuh tentang pertemuannya dengan menteri mentor Singapura, Lee Kuan Yew semalam.

Abdul Hadi berkata, pertemuan tersebut atas undangan Lee yang ingin tahu dasar luar PAS, termasuk terhadap republik itu.

Ahli jawatankuasa baru yang dilantik:

Datuk Husam Musa, bekas naib presiden
Mohamad Sabu, bekas naib presiden
Mohd Anuar Tahir, bekas setiausaha agung PKR 
Mohd Taufik Abdul Ghani, ADUN Paroi
Dr Mariah Mahamud, 
Wan Ubaidah Wan Omar
Asmuni Awi
Ahmad Dollah

Senarai pesuruhjaya PAS negeri

Hashim Jasin (Perlis)
Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Kedah)
Saleh Man (Penang 
Abu Bakar Husin (Perak) – dulu Ahmad Awang
Datuk Nik Aziz Nik Mat(Kelantan)
Datuk Harun Taib (Terengganu ) – dulu Datuk Mustafa Ali
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pahang)
Datuk Dr Hassan Ali (Selangor)
Mohd Noor Mohamad (Wilayah Persekutuan)
Zulkifli Mohd Omar (Negeri Sembilan)
Abdul Ghani Abdul Rahman (Melaka)
Datuk Mahfodz Mohamad (Johor)
Mohamad Abdullah (Sabah)
Osman Moras (Sarawak)

Rabu, 10 Jun 2009

Muzakarah; Antara Hukum dan Perasaan


Oleh: Ustaz Termizi Mohd Din

Walaupun agak keletihan setelah mengikuti Muktamar PAS kali ke 55 yang berlangsung hampir 3 hari termasuk bertugas sebagai Unit Amal, namun hati merasa puas dan makin bersemangat.



Ucapan sekalung tahniah kepada seluruh kepimpinan yang telah terpilih bagi menganggotai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2009-2011. Walaupun pelbagai kontroversi dan suasana yang negatif telah digembar-gemburkan oleh media, namun perjalanan Muktamar masih dapat ditangguhkan dalam keadaan damai serta harmoni.

Sepanjang berlangsungnya muktamar, agak sukar untuk saya mendengar perbahasan yang benar-benar berkualiti dan serasi dengan agenda Islam Memimpin Perubahan sebagaimana yang digagaskan oleh YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya. Hanya segelintir sahaja yang mampu untuk menarik perhatian perwakilan dan pemerhati dengan idea-idea yang bernas untuk memasarkan Islam kepada masyarakat.

Sebab itulah, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menegur perwakilan yang membuat perbahasan agar menyentuh soal bagaimana untuk menambahbaikkan PAS agar dapat mempromosikan Islam dan menyampaikan mesejnya kepada masyarakat secara lebih berkesan dalam ruang lingkup suasana politik semasa. Tuan Guru menegur ucapan yang disampaikan oleh perwakilan yang banyak bertumpu kepada memperkenalkan dan berkempen tentang PAS kepada pimpinan serta ahli PAS. Ia adalah perkara yang sepatutnya tidak berlaku dalam muktamar PAS yang agak terhad masanya.

Suatu ketika dahulu mereka bertemu dan berdebat … muzakarah

RUNDINGAN DENGAN UMNO

Antara isu yang hangat diperkatakan sepanjang Muktamar ini adalah idea kerajaan perpaduan dan rundingan dengan UMNO yang dilontarkan oleh Tuan Guru Presiden. Selepas bermuktamar, masih lagi ia diperbincangkan sedangkan Tuan Guru Presiden telah memberikan penjelasan semasa ucapan penggulungan.

dipetik daripada: www.PemudaGombak.com

“Ustaz, apa pandangan tentang idea kerajaan perpaduan tu?” Saya juga ditanya tentang isu ini. Entahlah, mungkin si penyoal hendak mengenalpasti status saya, sama ada pro-muqabalah atau pro-pakatan rakyat (terpaksa menggunakan istilah ini waaupun saya tidak menggemarinya).

Saya menyoalnya kembali. “Sebelum saya menjawab, ingin saya bertanya adakah Islam membenarkan atau tidak? Kalau Islam membenarkan, kenapa saya ingin mengharamkannya?”

Mereka turut bertemu …. muzakarah

ANTARA HUKUM DAN PERASAAN

Memang tidak dinafikan, ramai yang merasa perit apabila mengenangkan pengalaman PAS bersama dengan UMNO pada tahun 1971 dan 1972. PAS akhirnya ditendang keluar oleh UMNO pada tahun 1977 dengan cara yang tidak beradab sekali. Perasaan benci kepada UMNO semakin membuak-buak lagi apabila sejarah mencatatkan kekejaman UMNO yang pernah menzalimi ulamak-ulamak, aktivis dan pejuang PAS selama ini.

Namun, janganlah pengalaman-pengalaman ini menjadikan kita meletakkan UMNO lebih teruk daripada kafir harbi sehingga tertutup semua ruang dakwah terhadap mereka. Janganlah kita mengkategorikan mereka di satu tempat yang kita tidak perlu jejaki lagi. Lupakah kita tentang sifat yang perlu ada kepada seorang daie untuk menyampaikan dakwah kepada mad’u?

Mereka bertemu dan berbincang…muzakarah

dipetik daripada: www.PemudaGombak.com

Saya tertarik dengan kata-kata Ustaz Nasharuddin Tantawi, Ketua Pemuda PAS dalam ucapan penutupnya agar sifat benci kita kepada UMNO tidak menutup ruang untuk kita menyampaikan mesej Islam kepada mereka. “Jangan membina tembok pemisah untuk dakwah kita sampai kepada mereka. Kita adalah daie”. Katanya dengan penuh bersemangat disambut dengan laungan takbir daripada perwakilan.

Perasaan terhadap UMNO tidak boleh diletakkan di hadapan. Letakkanlah al-Quran dan as-Sunnah sebagai kemudi untuk memandu kita dalam membuat penghakiman.

Rasulullah SAW mempunyai pengalaman yang jauh lebih buruk dengan kafir Quraisy Mekah berbanding pengalaman PAS bersama UMNO. Namun, sewaktu membuka kota Mekah, Baginda SAW memaafkan dan membebaskan mereka tanpa sebarang hukuman. Sabda Baginda SAW;

لا تثريب عليكم اليوم , يغفر الله لكم

”Tiada pembalasan ke atas kamu semua pada hari ini, Allah akan mengampunkan kamu” (Al-Amwal , Abu ‘Ubaiyd, 143 dengan sanad hasan tetapi Mursal) Nabi diriwayatkan juga berkata ketika itu

نصبر ولا نعاقب

” Kami sabar dan tidak akan membalas ” (Riwayat Ahmad, 5/135 ; At-Trmidizi, 4/361 ; Sohih menurut al-Hakim dan disepakati az-Zahabi)

Akhirnya, dengan uslub dakwah Baginda, akhirnya menyebabkan kafir Quraisy Mekah memeluk Islam secara beramai-ramai.

SIKAP DOUBLE STANDARD

Saya agak hairan dengan sikap sesetengah pihak yang menuduh Tuan Guru Presiden dengan pelbagai bahasa yang tidak enak sewaktu beliau mengemukakan gagasan rundingan dengan UMNO. Namun, sekiranya perkara yang hampir sama digagaskan oleh pihak lain, mereka hanya mendiamkan diri. Bahkan menyokongnya.

Sebagai contoh, perbincangan YB Husam Musa dengan Chua Soi Lek tentang isu DUN Perak. Ia bukan sahaja tidak dipertikaikan bahkan disokong dengan sepenuh hati pula. Apakah perbincangan itu bukan muzakarah?

dipetik daripada: www.PemudaGombak.com

PAS Kelantan juga telah membenarkan YB Dato’ Ibrahim Ali untuk bertanding di Parlimen Pasir Mas dengan menggunakan tiket PAS. Siapa yang tidak kenal dengan Ibrahim Ali dan kerosakan yang telah dibinanya untuk menentang PAS sebelum ini? Dan kita telah sama-sama lihat kegagalan idea ini sekarang. Ibrahim Ali bukan sahaja mengkhianati amanah PAS, bahkan secara terus-terang mengkritik PAS dan Pakatan Rakyat. Mengapa tiada pihak yang mempersoalkan kegagalan ini?

rasmi7

WALA’ DAN TAAT

Dato’ Dr. Harun Din dalam ucapan penangguhan telah mengingatkan perwakilan tentang musuh-musuh kepada perjuangan PAS. Musuh-musuh ini senantiasa wujud sama ada di luar atau dalam Jemaah sendiri.

Oleh kerana itu, beliau berpesan kepada ahli PAS supaya akur dan wala’ kepada Presiden sebagai amir atau ketua kepada Jemaah yang kita dokongi ini. Baginda SAW pernah berwasiat;

أُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَ جَلَّ وَ السَّمْعِ وَ الطَّاعَةِ وَ إِنْ تََأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلافًا كَثِيْرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَ سُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ اْلمَهْدِيِّيْنَ عَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَ إِيَّاكُمْ وَ مُحْدَثََاتِ اْلأُمُوْرِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ . ( رواه أبو داود و الترمذي و قال : حديث حسن صحيح )

“Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah Azza Wajalla , dengar dan taat sekalipun yang mengarah kamu hanyalah seorang hamba , maka sesungguhnya sesiapa yang masih hidup dikalangan kamu , ia akan berhadapan dengan konflik yang begitu hebat , dikala itu wajib ke atas kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ Ar Rasyidin yang mendapat petunjuk. Genggamlah ia dengan geraham dengan seerat – eratnya dan waspadalah kamu terhadap perkara – perkara yang diada-adakan maka sesungguhnya semua perkara yang diada-adakan ( yang tidak terdapat dalam syariat ) adalah sesat .”

Jangan kita meletakkan perasaan di hadapan, sehingga mengenepikan al-Quran dan Sunnah, rasional serta akhlak sebagai ahli gerakan Islam. Seumpama seorang wanita yang mengharamkan poligami kerana perasaannya walaupun dibenarkan oleh al-Quran dan Sunnah. Kita semua tahu dan sedar hukumnya. Wallahu a’lam.

(Nota; Penulis adalah Ketua Lajnah Tarbiyah, Dewan Pemuda PAS Gombak Sesi 2009 - 2011. Tulisan-tulisan beliau boleh dibaca di blognyahttp://termizidin.wordpress.com)

Pertandingan Formula Future Kebangsaan 2009