Isnin, 23 November 2009

SPR gagal tangguh perintah kosongkan Kota Siputeh

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan keputusan mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah minggu lalu.

Suruhanjaya itu bagaimanapun akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung penolakan penangguhan tersebut.

Isnin lalu, hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Dalam keputusannya, hakim menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya dalam penghakimannya.

"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata hakim itu lagi ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Speaker DUN itu memfailkan semakan berkenaan pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakil rakyatnya.

Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.

Selasa, 17 November 2009

SPR huru-harakan negara

Oleh Pendekar Lekir


Keputusan Mahkamah Tinggi 16 November lalu memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh kosong dan memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengadakan satu pilihan raya kecil DUN itu menyerlahkan lagi sikap SPR yang menyalah gunakuasa sebagai badan bebas di negara ini.


Kepercayaan terhadap kewibawaan SPR dalam menguruskan pilihan raya dalam negara ini secara adil diragui kerana sikapnya yang berpihak kepada parti pemerintah.


Ini jelas dalam setiap tindakan mereka yang mengetepikan perlembagaan negeri dalam membuat keputusan dan tindakan.


Walaupun mereka mendakwa menghormati keputusan Mahkamah dalam penghakimannya tetapi mereka cuba bertindak lebih jauh menangguhkan keputusan mahkamah malah merujuk perkara ini kepada peguam negara untuk tindakan lanjut.


Mereka seolah-olah telah bertindak bagi pihak yang satu lagi apabila merayu terhadap keputusan itu di mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan di pejabat pendaftar mahkamah di Kuala Lumpur.


Mereka sepatutnya malu dan tidak membiarkan badan bebas itu dijadikan alat untuk pihak pemerintah berbuat sesuka hati.


SPR sepatutnya bersikap profesional dalam menjalankan amanah rakyat.


Sepatutnya mereka membiarkan pihak Barisan Nasional (BN) yang bertindak untuk kepentingan mereka sama ada mahu membuat rayuan di mahkamah atau tidak.


Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz sepatutnya sedar bahawa keputusan mereka dalam banyak hal telah menimbulkan huru-hara dalam undang-undang negara dan huru-hara dalam perlembagaan negara dan menimbukkan rasa kurang selesa rakyat.


Rakyat telah mula keliru dengan fungsi SPR selaku badan bebas yang di amanahkan menyelaras setiap pilihan raya di dalam negara ini.


Mereka sepatutnya menjalankan arahan terhadap setiap keputusan speaker tetapi sebaliknya berlaku.


Janganlah membuatkan rakyat merasa mual dan bosan dengan suasana yang berlaku.


Rakyat Malaysia bukanlah orang yang boleh diperbodohkan tetapi mereka mempunyai akal fikiran dalam menilai setiap tindakan yang diambil oleh SPR.


Jika Abdul Aziz mahu menjadi orang politik sewajarnya dia meletakkan jawatan dan menyertai mana-mana parti politik yang disukainya.


Janganlah menjadikan SPR sebagai kuda tunggangan untuk kepentingan dirinya atau kepentingan pihak lain.


Berhentilah dari membuat kerja-kerja jahat dan bertugaslah secara adil.


Kenapa SPR bersungguh-sungguh mahu bertembung dengan parti lawan BN? Adakan SPR telah menjadi sayap parti kepada BN? Tetapi dalam hal yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh BN mereka hanya mendiamkan diri.


Sesungguhnya SPR memikul amanah rakyat Malaysia dan tindakan mereka itu akan dipersoalkan di hadapan Allah di hari kemudian.

Isnin, 16 November 2009

Mahkamah arah pilihan raya kecil di Kota Seputeh

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil untuk Dun Kota Seputeh Kedah.

Arahan itu dibuat oleh hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin siang tadi.

Menurut hakim itu, Suruhanjaya Pilihan Raya telah melanggar sempadan kuasanya apabila menolak permohonan Speaker Dun Kedah agar diadakan pilihan raya semula di situ.

Menurut beliau, peguam plaintif (Speaker Dun Kedah) telah berjaya membuktikan bahawa Datuk Abu Hassan Sarif, Adun Kota Seputeh telah tidak hadir dua kali sidang berturut-turut tanpa kebenaran Speaker.

Ini bermakna, mahkamah bersetuju dengan keputusan Speaker Dun Kedah, yang memutuskan kerusi itu kosong berikutan kegagalan Abu Hasan (gambar) hadir dua kali berturut-turut ke sidangnya.

Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi.

Dalam sidang Dun Kedah baru-baru ini, Speaker menyifatkan Abu Hasan bukan lagi Adun Kedah yang sah.

Mengulas mengenainya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pegawai undang-undang SPR perlu meneliti secara terperinci desakan dibangkitkan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail sebelum membuat sebarang keputusan.

Pada 18 Ogos lalu Abd Isa meminta SPR mengisytiharkan kerusi itu kosong atas alasan Abu Hasan tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dua kali berturut-turut tahun ini.


Peguam bagi Speaker, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah, Artikel 51 Undang Undang Tubuh Kerajaan Kedah menyebut bahawa “sekiranya mana-mana anggota Dewan Undangan Negeri tidak menghadiri dua sidang berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, kerusi mereka seharusnya dianggap kosong.”

Abu Hasan tidak hadir pada sidang 19 April dan kemudian pada 9 Ogos tanpa izin Speaker.

Sulaiman berkata, Abu Hasan tidak menafikan fakta itu.

“Apabila syarat-syarat ini dipenuhi, kemudian perjalanan undang-undang ialah Artikel 51, di mana kerusi itu dengan sendirinya menjadi kosong,” kata Abdullah yang juga bekas Presiden Majlis Peguam di mahkamah sebelum ini.

Namun, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Abu Hasan agar terus menghadiri sidang DUN negeri itu yang dijadualkan hari ini.

Katanya, walaupun Speaker menganggap wakil rakyat itu hilang kelayakan sebagai Adun, namun BN memegang prinsip apa yang diputuskan oleh SPR bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Seputeh dan Abu Hasan adalah wakil rakyat BN yang sah.

“Abu Hasan masih ahli Yang Berhormat secara sah dan Speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau dari menghadiri sidang dewan itu.

“SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa Speaker itu saya tak tahu,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gunung, Alor Setar.

Muhyiddin berkata, Abu Hasan harus menghadiri sidang DUN itu bagi mengetahui apa yang sedang berlaku kerana beliau masih seorang Adun sehinggalah mahkamah memutuskan kedudukannya kelak.

Abd Isa baru-baru ini berkata, beliau menyifatkan Abu Hasan bukan lagi Adun walaupun mahkamah belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan wakil rakyat itu.

Beliau sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR yang mengekalkan Abu Hasan sebagai Adun kawasan Kota Seputeh.

Semasa kempen Bagan Pinang baru-baru ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengajak penyokong PAS dan Pakatan Rakyat ke Kedah pula untuk pilihan raya kecil Kota Seputeh.

"Ada pemimpin Umno kata saya membazir apabila melantik ramai peguam untuk kendalikan kes ini. Saya kata, saya rela membazir dari membayar gaji Adun yang malas (tidak hadir sidang Dun)," kata Azizan.

Jumaat, 6 November 2009

Kedah: Hutang Kerajaan BN, Kerajaan PAS bayar


ALOR SETAR: Kerajaan Kedah terpaksa berdepan dan menanggung kesilapan yang telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional(BN)sebelum ini dengan mewariskan legasi hutang mereka berjumlah RM2 bilion.

Menurut Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria, prestasi pentadbiran Kerajaan Kedah dibawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi tahun pertama sepertimana yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 menunjukkan kewangan Kedah adalah memuaskan.

"Namun begitu Menteri Besar perlu memastikan tindakan yang telah dilakukan oleh kepimpinan BN dahulu dengan meluluskan balak tanpa kawalan tidak berulang.Semasa BN memerintah Kedah dahulu balak yang diluluskan ditempat lain, tempat lain pula yang ditebang.

"Sehektar balak milik rakyat yang untungnya mungkin mencapai puluhan ribu ringgit tetapi hanya RM1000 sahaja premiumnya kembali kepada kerajaan ketika itu.Dengan tindakan terkini Datuk Seri Azizan membuka tender balak maka sekaligus ia melonjakkan pendapatan yang diraih oleh Kerajaan Negeri Kedah.Dengan tender terbuka ini perolehan pendapatan hutan ini telah meningkat 205.5 peratus jika dibandingkan semasa pentadbiran BN dahulu."

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah berkata, bagi tahun 2007 semasa Kedah ditadbir oleh Kerajaan BN pendapatan Kerajaan Negeri ketika itu hanyalah berjumlah RM9.21 juta dan kini telah meningkat kepada RM28.14 juta.

"Dengan peningkatan jumlah ini maka banyak manfaat dapat digunakan bagi kesejahteraan dan kebajikan rakyat negeri Kedah.Ini semua adalah ekoran kepimpinan kerajaan negeri yang memahami permainan politik balak yang telah dimainkan sebelum ini oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab."katanya lagi.

Rabu, 4 November 2009

Penangkapan Dr Mohd Asri: Mengapa babitkan Dr Hassan Ali

Oleh: pendekarlekir

"ISU penangkapan yang melibatkan Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sebuah rumah di Taman Seri Ukay, Ulu Kelang telah menjadi satu isu yang cuba di rungkai melalui pandangan politik oleh sesetengah pihak.

Oleh kerana itu beberapa blog-blog telah mula memainkan isu ini hingga menjadi ke peringkat fitnah.

Kita boleh melihat blog malaysiawave yang dikendalikan oleh Tulang Besi atau nama sebenarnya Rahman Talib atau Rahman Panjang telah cuba mengaitkan isu ini dengan Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali kononnya ini adalah kerana Hal Ehwal Agama adalah di bawah bidang kuasa beliau.

Kita sepatutnya lihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar, yang mengatakan bahawa Jais memiliki kuasa yang bebas dari kengkangan Kerajaan Negeri dalam menguatkuasakan Enekmen Pentadbiran Agama Islam Selangor.

Adakah penangkapan ini adalah satu konspirasi untuk menjatuhkan lagi nama baik Dr Hassan ataupun penangkapan Dr Mohd Asri ini adalah kerana tugas yang diamanahkan kepada Jais.

Menteri Besar Selangor, Tan Seri Khalid Ibrahim telah meminta supaya Jais memberi penjelasan yang munasabah kepada orang awam berkenaan dengan isu tersebut. jadi dalam hal ini biarlah Jais yang menyelesaikan masalah ini dan kita tunggulah apakah keputusannya.

Tindakan menuduh Dr Hassan Ali terbabit dalam isu ini adalah satu tuduhan yang dangkal. Bukannya saya mahu mebela beliau tetapi tuduhan tanpa bukti dan kemudiannya cuba dicetuskan oleh blogger yang tiada kredebaliti dan kurang dipercayai sumber beritanya adalah satu dosa yang besar. Bloger yang kononnya adalah orang yang cuba memperjuangkan agama Allah tetapi sentiasa menjadikan blog mereka sebagai medan untuk bergaduh sesama sendiri sehingga mengeluarkan tulisan-tulisan maki hamun, mencarut dan berbagai-bagai perkataan yang kurang sopan.

Adakah kita suka perkara ini terus berlaku dalam dunia maya ini? Sepatutnya kita mengambil kesempatan dari dari sini untuk menjalankan dakwah dan merapatkan lagi saf sesama Islam. Jika dalam perang pun kita mempunyai adab cara berperang inikan pula dalam menyampaikan dakwah kepada sesama Islam.

Kekadang kita merasa jijik melihat tulisan komen daripada pembaca blog yang memaki hamun sesama sendiri. Inikah akhlak orang yang konon mengaku nak memperjuangkan Islam. Tindakan menuding jari kepada orang yang dituduh juga adalah satu perbuatan yang tergesa-gesa. Adakah mereka ini tidak malu dengan perbuatan mereka. Adakah mereka tidak memikirkan akibatnya nanti apabila berhadapan dengan Allah.

Kita sepatutnya menerima ketetapan yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat khas yang diadakan oleh pucuk pimpinan. Kita juga sepatutnya tidak mempertikaikan apa jua keputusan yag telah ditetapkan. Kita janganlah menjadi masalah kepada parti untuk mencari penyelesaian dalam setiap isu. Kita berilah kepercayaan kepada jawatan kuasa disiplin parti yang diketuai oleh Naib Presiden, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dalam menangani isu ini.

Kita janganlah asyik menyalak di luar jika kita mahu parti kita dan Pakatan Rakyat dapat bersatu dalam apa jua hal. Jauhkanlah dari perasaan hasad dengki sesama saudara seperjuangan. Jika ada masalah sepatutnya kita bemesyuarah dan bukan menghasut dan memfitnah. Jauhkanlah dari bermain politik sesama rakan seperjuangan kerana ini kurang sihat untuk parti. Berjuanglah dengan ikhlas dan berjuanglah kerana Allah. Janganlah mempercayai berita yang sumbernya diragui. Siasatlah terlebih dahulu kerana sekarang ini banyak anasir-anasir luar yang mahu menggangu-gugat keamanan dalam parti kita dan Pakatan Rakyat khususnya.


Royalti Petroleum: Kelantan kaji batal perjanjian dengan Petronas


Kerajaan Kelantan mengkaji kemungkinan membatalkan perjanjian menyerahkan hak cari gali kepada Petonas jika royalti petroleum tidak diberikan kata Exco ekonomi dan kewangannya, Datuk Husam Musa.


Beliau mengulas kenyataan Perdana Meteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan di Dewan Rakyat hari ini bahawa Kelantan hanya akan diberi Wang Ehsan oleh Kerajaan Pusat daripada hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.


Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan telah menghantar surat kepada Perdana Menteri mengenai tuntutan bayaran royalti 5 peratus, yang berjumlah RM1 bilion, hasil petroleum dan gas cecair di peraiaran Kelantan.


Kerajaan negeri membuat tuntutan tahun ini berdasarkan laporan dari Jabatan Perangkaan bahawa cari gali petroleum itu telah beroperasi sejak 2004 dan tuntutan royalti RM1 bilion itu dikira bermula dari 2004 hingga kini.


Keputusan untuk mengkaji kemungkinan membatalkan perjanjian hak cari gali itu dicapai dalam mesyarat Exco hari ini berikutan pengumuman Najib pagi ini di Parlimen dan ia akan dikaji oleh panel peguam yang akan dilantik oleh kerajaan negeri.


Husam turut mempertikaikan penggunaan istilah "wang hsan" sebagai bentuk bayaran kepada Kelantan sedangkan "bayaran royalti" digunakan untuk bayaran di Terengganu , Sabah dan Sarawak.


"Nyata asas yang disebut oleh Perdana Menteri (kedudukan lokasi cari gali di luar pesisiran pantai sejauh) 3 batu nautika adalah tidak berasas bagi kes-kes Sabah, Sarawak dan Terengganu."


Ia sengaja digunakan untuk mendiskriminasikan kerajaan dan rakyat Kelantan," katanya.


Hussam juga berkata, kerajaan negeri mahu wang ehsan dibayar terus kepada kerajaan negeri dan sebuah badan penyelaras akan ditubuhkan yang akan turut dianggotai wakil kerajaan pusat untuk memantau penggunaan wang tersebut.


Beliau berharap Perdana Menteri dapat mengkaji semula dan mengambil kira tuntutan ini berdasarkan prinsip kesaksamaan, kedaulatan wilayah dan semangat federalisma yang utuh serta penghormatan perjanjian yang temaktub demi kesejahteraan dan kehormanian Malaysia.


Menurut Husaam antara isu yang akan dicadang di pertimbangkan oleh panel peguam ialah:


1. Kemungkinan mengambil tindakan mahkamah untuk membatalkan perjanjian penyerahan hak kepada Petronas untuk cari gali dan mengeluarkan sumber petoleum dan lautan negeri Kelantan 1975 jika tuntutan royalti minyak tidak dipatuhi.


2. Kerajaan negeri mungkin akan mengambil tindakan mahkamah di luar negara termasuk perintah injunksi menghentikan pengeluaran di JDA (Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand) dan CAA (Kawasan Pengurusan Komersial Malaysia-Vietnam) yang melibatkan entiti dan syarikat antarabangsa.


Segala keputusan muktamad akan ditentukan kemudian setelah mengambil pandangan dari penal peguam tersebut.

Selasa, 3 November 2009

Dr Asri Jawab Tuduhan Sijil Palsu

Gambar sijil Sarjana Muda Kepujian Dr Mohd Asri daripada University Of Jordan yang menunjukkan pengkhususan beliau dalam Bahasa Arab dan Sasteranya serta Syariah Islamiyyah

PETALING JAYA: Ternyata dakwaan terhadap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin kononnya dia memalsukan kelayakannya dalam bidang syariah di peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab, tidak lebih dari satu lagi fitnah yang terancang.

Ini terbukti dengan kiriman emel gambar sijil Sarjana Muda Kepujian Dr Mohd Asri daripada University Of Jordan yang menunjukkan pengkhususan beliau dalam Bahasa Arab dan Sasteranya serta Syariah Islamiyyah.

Bukti ini sekali gus menunjukkan ianya bercanggah dengan tuduhan pegawai JAKIM Zamihan Mat Zain yang tersiar dalam sebuah akhbar perdana hari ini.

"Tindakan pegawai JAKIM menuduh saya membuat sijil palsu amat hina dan jijik. Seakan tidak waras dan berfikir panjang. Masakan UIA, USM membenarkan saya menyambung Ph.D dan menjadi pensyarah jika sijil saya palsu.

"Saya sendiri rasa amat lekeh untuk jawab tuduhan yang seperti ini. Cukuplah dengan rakyat Malaysia melihat gambar sijil yang disertakan ini. Persoalannya, apakah JAKIM di belakang konspirasi ini?

"Jika JAKIM terlibat, nanti orang akan tanya apakah terdapat mereka dari Kerajaan Pusat juga terlibat? JAKIM jangan burukkan nama Kerajaan Pusat!," kata Dr Asri di kediamannya di Mengkuang, Bukit Mertajam. Semalam, penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Zamihan Mat Zain Alghari, mendakwa Dr Asri memalsukan kelayakannya dalam bidang syariah di peringkat ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab/Syariah dari Universiti Jordan.

Zamihan mendakwa bidang pengkhususan Dr Asri hanya melibatkan bahasa Arab dan Sastera dan Universiti Jordan tidak menawarkan dua pengkhususan dalam satu ijazah.

"Universiti itu tidak meneruskan program itu sekarang tapi di waktu saya belajar dulu, memang ada program itu. Antara penceramah yang mendapat ijazah yang sama ialah Ustaz Erfino Johari dan ramai lagi guru-guru agama yang mengajar bahasa Arab.

"Tapi inikah kerja JAKIM, menyanggahi disiplin kerja, budi dan etika. Apakah tujuan JAKIM masuk campur? Juga menyalahi akhlak Islam?," kata Dr Asri.

Tuduhan memalsukan kelayakan merupakan tuduhan terbaru yang dilemparkan terhadap Dr Asri sejak dia ditahan oleh pihak JAIS malam Ahad lalu. Antara tuduhan lain ialah memberi ceramah agama tanpa tauliah dan menyebarkan fahaman Wahabi.

Dr Asri tertanya-tanya apakah motif di sebalik tuduhan terbaru ini.

"Adakah ini bermakna JAKIM termasuk dalam 'tangan ghaib' sedangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menafikan kerajaan pusat terlibat dalam hal ini.

"Adakah JAKIM ingin sabotaj saya atau Kerajaan Persekutuan? Dan Datuk Jamil Khir Baharom juga mahu kerajaan Selangor bertanggungjawab. Jadi jika JAKIM tidak terlibat dalam tuduhan pegawainya, saya ingin melihat bantahan terbuka dari pihak JAKIM.

"Saya juga difahamkan Dr Azwira Aziz turut menyaman pegawai yang sama untuk kes fitnah yang lain," kata Dr Asri yang akan mengadakan satu kuliah bertajuk 'Gelombang Fitnah' jam 8 malam ini di Institut Al Qayyim. Kuliah malam ini akan menyentuh tuduhan bohong pegawai JAKIM tentang sijil palsu.

Menurut Dr Asri, setelah berita 'pemalsuan ijazah' itu keluar, beliau telah menerima panggilan dari beberapa peguam ternama menawarkan khidmat mereka dengan percuma untuk menyaman Zamihan.

Dan Dr Asri berkata, dia tidak teragak-agak untuk menyaman.

"Cukuplah...mereka telah pergi ke peringkat yang keji iaitu, fitnah!," kata Dr Asri yang juga ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis, di bawah Majlis Agama Islam Perlis

MCA pecat empat AJK pusat

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat memecat empat anggota Jawatankuasa Pusat (CC) MCA yang dilantik pagi ini - kira-kira empat jam sebelum mesyuarat CC berlangsung tengahari ini.

Mereka yang dipecat itu ialah Datuk Chor Chee Heung, Datuk Chai Kim Sen, Yoo Wei How dan Gan Hon Su - semuanya penyokong Timbalan Presiden yang baru dilantik, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Mereka adalah antara 16 anggota jawatankuasa pusat yang menandatangani memorandum mendesak supaya mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA diadakan bagi menentukan sama ada perlu diadakan pemilihan pucuk pimpinan MCA yang baru.

Chor merupakan timbalan menteri kewangan, manakala Chai pula setiausaha agung Pemuda MCA

Yoo pula merupakan setiausaha organisasi MCA manakala Gan adalah timbalannya.

Ekoran iatu, tiga orang - Tan Chin Meng, Chua Tee Yong dan Datuk Donald Lim - dilantik sebagai anggota jawatankuasa pusat.

Manakala Senator Heng Seai Kie pula dilantik menggantikan Lee Wee Kiat dilantik sebagai ketua penerangan. Lee merupakan antara penyokong Liow.

Heng merupakan setiausaha agung Wanita MCA dan juga timbalan menteri penerangan, telekomunikasi, kesenian dan kebudayaan.

Sementara itu, Bernama melaporkan Chor memberitahu sidang akhbar petang tadi bahawa mereka menerima surat pengguguran masing-masing pada jam 10.30 pagi tadi sebelum mereka dapat enghadiri mesyuarat jawatankuasa itu diibu pejabat parti.

"Tindakan ini adalah sesuatu yang mengejutkan kerana kami sudah bersedia ntuk hadir mesyuarat itu bagi membincangkan agenda penting mengenai pelan perpaduan parti," katanya.

Beliau berkata tindakan Ong itu akan menjadikan MCA bahan cemuhan kerana, pada ketika Ong menghebahkan rancangannya untuk menyatukan parti, beliau juga menyingkirkan mereka yang tidak sehaluan dengannya.

Chor mendakwa, tindakan Ong itu merupakan satu perbuatan balas dendam terhadap pemimpin-pemimpin MCA yang tidak bersetuju dengannya.

Beliau juga berkata kedudukannya sebagai timbalan menteri tidak terjejas kerana kuasa pelantikan itu adalah pada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yoo dan Gan pula berkata mereka tidak tahu sebab pengguguran mereka.

Dr Chua kini timb presiden MCA

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendapat semula jawatannya sebagai timbalan presiden MCA selepas digugurkan susulan dipecat daripada parti kira-kira dua bulan lalu.

Ketika dihubungi, Chua mengesahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengesahkan beliau masih memegang jawatan tersebut.

"Betul, terima kasih," jawabnya ringkas.

Pengumuman mengejut itu dibuat oleh ROS hari ini ketika jawatankuasa pusat parti itu sedang mengadakan mesyuarat di ibu pejabatnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur tengah hari ini.

Surat ROS itu dihantar terus kepada kepemimpinan MCA.

Kedudukan ini mengembalikan senario sebelum krisis parti itu - akibat pemecatan Dr Chua dan keputusan mesyuarat agung luar biasa MCA awal bulan ini - dan sekali gus memeningkan kepada Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dilantik menggantikan Dr Chua.

Naib presiden itu, yang dilantik kepada jawatan nombor dua tersebut pada 15 Oktober lalu, dianggap melawan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat selepas kumpulannya mendesak pemilihan baru parti diadakan.

Jika Liow, yang memegang jawatan timbalan presiden selama 19 hari itu, enggan menerima keputusan ROS itu, beliau boleh membuat rayuan.

Atau, beliau mungkin boleh terus mendesak melalui kempennya supaya diadakan EGM baru bagi memilih semula pucuk pimpinan MCA.

Ketika tiba jam 1.10 tengah hari di Wisma MCA, tempat mesyuarat itu diadakan kira-kira 10 minit kemudian, Dr Chua kelihatan tenang dan kemudian melangkah terus ke bilik mesyuarat.

Chua dipecat dari jawatan timbalan pesiden pada 26 Ogos, tetapi jawatankuasa pusat MCA kemudiannya membatalkan keputusan itu dan sebaliknya menggantung keahlian bekas menteri kesihatan itu selama empat tahun.

Dalam mesyuarat jawatankuasa pusat yang sedang berjalan, difahamkan Ong telah memaklumkan bahawa Dr Chua kini adalah timbalannya.

Mesyuarat jawatankuasa itu juga dimaklumkan mengenai pemecatan empatanggota CC yang dilantik - kesemuanya penyokong Liow.

Mereka yang dipecat itu ialah Datuk Chor Chee Heung, Datuk Chai Kim Sen, Yoo Wei How dan Gan Hon Su (foto kiri) - semuanya penyokong Timbalan Presiden yang baru dilantik, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Berikuan itu, Ong menggunakan kuasa presiden untuk melantik tiga anggota baru yang menyokong Chua. Mereka ialah naib ketua MCA Perak Tan Chin Meng, bekas naib presiden Donald Lim dan anak Chua, Tee Yong.

Ong turut melantik orangnya untuk mengisi dua jawatan penting. Beliau melantik setiausaha agung Wanita, Senator Heng Seai Kie sebagai ketua penerangan, menggantikan Lee Wee Kiat - seorang penyokong Liow. Heng juga merupakan timbalan menteri penerangan, telekomunikasi, kesenian dan kebudayaan.

Beliau juga melantik pemimpin veteran, Lim Hong Sang - yang dilihat sebagai penyokong setianya - sebagai ketua biro undang-undang MCA yang baru, menggantikan Leong Tang Chong yang dipecat dua minggu lalu.

Sementara itu, ketika Chua keluar sebentar dari mesyuarat CC untuk ke tandas, beliau menjadi buruan para wartawan.

Mereka terus menerus meminta komennya mengenai keputusan ROS mengekalkannya sebagai timbalan presiden.

"Saya dimaklumkan mengenainya melalui sepucuk surat dari ROS pada jam 11.30 pagi tadi. Ia adalah keputusan yang dibuat berdasarkan kepada perlembagaan parti."

Liow pula, ketika ditemui wartawan ketika hendak di tandas, bagaimanapun enggan menjawab soalan wartawan.

Mesyuarat CC tamat jam 5.30 petang di mana Liow, Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong beredar tanpa menghadiri sidang akhbar selepas itu.

Pertandingan Formula Future Kebangsaan 2009