Dengan dalil ini jelaslah kepada kita bahawa daging babi dan produk-produknya diharamkan oleh Allah secara mutlak ke atas umat Islam. Setiap perkara yang diharamkan Allah pasti mempunyai sebab dan rahsianya.
Penyakit Dan Jangkitan Daripada Babi
Daniel S. Shapiro, M.D., Pengarah Clinical Microbiology Laboratories, Boston Medical Center, Massachusetts dan juga merupakan Penolong Profesor Perubatan di Pathology and Laboratory Medicine, Boston University School of Medicine, Massachusetts, merumuskan terdapat lebih daripada 25 penyakit yang boleh di jangkiti dari babi. Di antaranya ialah:
• Anthrax
• Ascaris suum
• Botulism
• Brucella suis
• Cryptosporidiosis
• Entamoeba polecki
• Erysipelothrix shusiopathiae
• Flavobacterium group IIb-like bacteria
• Influenza
• Leptospirosis
• Pasteurella aerogenes
• Pasteurella multocida
• Pigbel
• Rabies
• Salmonella cholerae-suis
• Salmonellosis
• Sarcosporidiosis
• Scabies
• Streptococcus dysgalactiae (group L)
• Streptococcus milleri
• Streptococcus suis type 2 (group R)
• Swine vesicular disease
• Taenia solium
• Trichinella spiralis
• Yersinia enterocolitica
• Yersinia pseudotuberculosis
---
Kajian yang dibuat oleh Alix Fano (M.A.), Murry J. Cohen (M.D.), Marjorie Cramer (M.D.,F.A.C.S.), Ray Greek (M.D.), dan Stephen R. Kaufman (M.D.) mendapati antara penyakit-penyakit ini ada yang boleh membawa maut, sebagai contoh leptospirosis. Ia boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang.
Orang-orang Cina banyak membuat pengamatan dan kajian tentang babi dan sesetengah pandangan mereka dibukukan untuk pengetahuan umum. Sebagai contoh dalam sebuah Jurnal Kesihatan Cina yang amat terkenal suatu ketika dahulu iaitu Yan Show Tan disebutkan, "Di saat kematian, perasaan takut akan memasuki hati babi dan nafasnya yang terakhir memasuki hempedunya. Semua daging adalah berkhasiat melainkan daging babi. Jangan makan dagingnya.”
Virus-Virus Baru Keluaran Babi
Jangkitan kuman virus influenza pada 1918 telah membunuh lebih kurang 20 juta manusia di seluruh dunia. Ada yang menganggarkan mangsa-mangsanya yang sebenarnya berjumlah 40 juta orang. Mengikut beberapa kajian, kuman virus yang menyebabkan epidemik ini datang dari babi-babi di Amerika. Ia menjangkiti tentera-tentera Amerika pada Perang Dunia I dan tentera-tentera ini kemudiannya membawa dan menyebabkan jangkitan di negara-negara lain. Kajian ke atas spesimen-spesimen mangsa menunjukkan, punca wabak ini adalah daripada kuman virus yang datangnya daripada babi.
• Porcine Torovirus.
• Porcine Rotavirus (Variant 4F).
• PRRS (Porcine Reproductive and Respiratory Syndrome Virus).
• H3N2 Swine Flu Virus.
Dalam Journal of Virology 1997 dilaporkan kajian yang dilakukan oleh 12 orang pakar-pakar sains yang dipimpin oleh Dr. Yoshihiro Kawaoka dari Universiti Wisconsin. Penemuan mereka jelas menunjukkan pada kerongkong babi terdapat sel-sel tertentu yang mampu mengubah pelbagai kuman virus kepada bentuk yang berbahaya. Pakar-pakar sains menganggap babi sebagai mixing vessel atau ‘tempat pelbagai kuman bertakung sebelum diubah ke bentuk yang berbahaya.’ Mengikut kajian itu juga virus binatang yang biasanya tidak menjangkiti manusia akan bertukar menjadi kuman yang berbahaya yang boleh menjangkiti dan membunuh manusia, selepas melalui perubahan di dalam babi. Penemuan ini mampu memberi jawapan kepada punca empat wabak penyakit demam selesema flu yang menyerang dan membunuh jutaan manusia pada abad ini. Ia bermula dengan serangan Spanish flu pada tahun 1918, diikuti dengan Asian flu pada tahun 1957, Hong Kong flu 1968 dan Russian flu pada tahun 1977. Kajian-kajian oleh ahli-ahli sains menunjukkan kuman-kuman pembunuh ini dikeluarkan oleh babi sebelum menjangkiti manusia sejagat, terutamanya wabak pada tahun 1918.
Sejak dari zaman dahulu lagi tokoh-tokoh tabib China dari Dinasti Tang dan Ming mengingatkan manusia tentang bahaya daging babi. Kemudian pada abad kedua puluh, terutamanya di sekitar tahun 50an, dunia dikejutkan dengan cacing trichina dari babi yang menjadi penyebab kepada penyakit trichinusis. Tidak ada ubat yang boleh membunuhnya ketika itu. Di Amerika, amaran terpaksa dikeluarkan tentang bahaya memakan daging babi, sebagai contoh, amaran yang dikeluarkan oleh Dr. Glen Shepard dalam Washington Post bertarikh 31 Mei 1952. Pada hari ini, masalah trichinusis telah dapat diatasi namun timbul pula kuman-kuman baru seperti virus flu yang lebih berbahaya yang boleh menyebabkan wabak yang membunuh di seluruh dunia. Apabila Allah mengharamkan sesuatu, ia pastinya suatu yang keji dan memudaratkan.