Isnin, 18 Mei 2009

Bubar DUN Perak hanya khabar angin

Menteri besar BN hari ini menafikan desas-desus kononnya DUN Perak akan dibubarkan dalam masa terdekat dan menyifatnya sebagai satu khabar angin yang sengaja dimainkan oleh pembangkang.

"Biarlah ia kekal sebagai khabar angin buat mereka kerana kita tahu memang itu (bubarkan DUN) yang mereka inginkan," kata Datuk Seri Zambry Abdul Kadir selepas majlis perasmian sambutan Jubli Perak dan hari anugerah cemerlang sebuah sekolah agama di Bota hari ini.

Bernama melaporkan lagi, apabila ditanya sama ada satu sidang tergempar DUN Perak akan diadakan pada minggu depan, Zambry berkata: 

"Itu juga saya anggap sebagai khabar angin."

Katanya, beliau telah mengutus sepucuk surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memohon peruntukan segera sebanyak RM50 juta bagi pembangunan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh. 

Peruntukan itu antara lain akan digunakan untuk memanjangkan
landasan lapangan terbang itu sepanjang 200 meter lagi dari 1,798 meter ketika ini untuk membolehkan pesawat jenis Airbus mendarat di situ, tambahnya.

"Saya anggap ini sebagai satu projek berimpak tinggi yang memerlukan keputusan segera daripada pihak kerajaan dan saya harap perdana menteri akan memberikan kelulusan sebaik sahaja beliau menerima surat saya," Zambry dipetik berkata.

Zambry berkata kerajaan negeri sedang mengadakan perbincangan dengan AirAsia dan jika berjalan lancar, ia akan menjadi syarikat penerbangan kedua selepas FireFly beroperasi di lapangan terbang tersebut.

Beliau berkata AirAsia boleh menawarkan khidmat penerbangan Ipoh ke Singapura buat permulaan selain ke Medan dan Guangzhou pada masa akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pertandingan Formula Future Kebangsaan 2009