Rabu, 6 Mei 2009

Pemimpin kanan PAS ditahan polisMay 6, 09 3:16pm

Laporan Malaysiakini

May 6, 09 3:16pm
Naib Presiden PAS Mohamad Sabu ditahan polis selepas jam 3
petang ini di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur - dipercayai berhubung majlis solat hajat anjuran parti itu dekat Ipoh awal pagi esok.

Pemimpin kanan itu ditahan sekumpulan kira-kira 10 anggota polis berpakaian biasa sewaktu meninggalkan sebuah restoran berhampiran Pejabat Siasah menuju ke pejabat Harakah, kata ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

Mohamad sebelum itu minum bersama Salahuddin dan seorang lagi ahli PAS di sebuah restoran belakang Hospital Tawakkal di Jalan Pahang - kira-kira 300 meter dari pejabat organ parti itu.

Salahuddin memberitahu Malaysiakini, beliau terdengar jeritan Mohamad "aku kena tangkap" sebelum bergegas menuju ke arahnya yang sedang dikelilingi kumpulan anggota polis tersebut.

Beliau dan ahli PAS itu, yang dikenali Ali Maidin, bergelut seketika dengan anggota-anggota polis untuk menyelamatkan Mohamad tetapi diheret ke tepi oleh pihak berkuasa itu. 

Salahuddin menambah, tiada waran tangkap terhadap Mohamad dikeluarkan dan tiada pegawai polis memperkenalkan diri sewaktu penahanan tersebut.

Beliau kini sedang mendapatkan bantuan peguam PAS Hanipa Maidin untuk tindakan lanjut.

Mohamad ditahan selepas jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat, ditahan reman sehari di Mahkamah Magistret Kuala Lumpur bagi siasatan Akta Hasutan - dipercayai berkaitan kempen berpakaian hitam anjuran NGO itu sempena sidang DUN Perak, esok.

Wong ditangkap di rumahnya di Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur beberapa jam selepas memberikan kenyataan di satu sidang media Bersih, pagi semalam.

Sewaktu dihubungi, Salahuddin berkata beliau tidak menolak kemungkinan Mohamad ditahan berhubung program solat hajat di Manjoi bermula jam 5 pagi esok berkaitan persidangan DUN tersebut.

Isnin lalu, Mohamad mengumumkan program khas PAS itu dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur.

Beliau bertindak sebagai pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi Demokrasi PAS yang menganjurkan program tersebut di Masjid Al-Ittihadiyah, Kampung Tengku Husin Baru. 

Difahamkan, Mohamad dibawa ke ibu pejabat polis daerah Sentul, Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pertandingan Formula Future Kebangsaan 2009