Khamis, 21 Mei 2009

Husam tarik diri?

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dikatakan sedang dalam dilema samada bertanding atau tidak jawatan timbalan presiden dalam muktamar PAS akan datang ini.

Ini kerana, pendekatan laporan yang dibuat oleh media sekarang seolah-olah PAS berpecah kepada dua kumpulan iaitu ulama dan profesional.

Padahal, beliau dikatakan berpendapat, pertandingan kali ini adalah soal personaliti kepimpinan parti bukannya kumpulan-kumpulan dalam parti Islam itu.

"Dia bimbang, kalau dia bertanding dan menang, masyarakat beranggapan, PAS menolak ulama. Begitu juga sebaliknya jika dia kalah, persepsinya PAS menolak golongan profesional atau pelbagai lagi nama yang dicapkan kepada beliau itu," kata rakat rapat beliau kepada Siasah.

Bagi beliau, tidak ada pertembungan antara ulama dengan profesional dalam PAS tetapi media musuh telah mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan para pemimpin PAS ini dengan memberikan lebel-lebel kepada setiap pemimpinnya.

Ini menyebabkan, masyarakat mempunyai tanggapan yang salah.

"Misalnya kalaulah sungguh berlakunya pertembungan antara profesional dan ulama dalam PAS, maka sudah tentu banyak calon untuk jawatan presiden PAS.

"Tetapi yang banyak calon adalah untuk timbalan dan naib presiden. Jadi, ia hanya soal personaliti kepimpinan sahaja," kata sumber itu.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilih PAS, Datuk Mustafa Ali memaklumkan, lima nama layak untuk bertanding jawatan timbalan presiden dan 16 layak untuk jawatan naib presiden.

Sehingga kini, Husam mempunyai masa sehingga 25 Mei (Isnin) untuk membuat keputusan sama ada untuk bertanding atau tidak.

"Kalau dia bertanding pun adalah kerana dia kesal dengan serangan terhadap beliau dan tidak mahu menghampakan pencalonan yang begitu banyak terhadap beliau," kata sumber itu.

Sementara itu, jika Husam bertanding, pertandingan dijangka akan berlaku tiga penjuru untuk jawatan timbalan presiden selepas Datuk Seri Azizan Razak telah mengumumkan penolakannya.

Mereka adalah Nasharudin Mat Isa (timbalan sekarang), Mohamad Sabu dan Husam. Datuk Dr Haron Din, yang turut layak bertanding, sebagaimana sessi-sessi lepas tidak akan bersedia jika ada pertandingan berlaku.

Mohamad Sabu sudah bertegas akan tetap akan bertanding dan tidak akan menerima sebarang kompromi lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pertandingan Formula Future Kebangsaan 2009