Selasa, 12 Mei 2009

Krisis di Perak: Umno tidak peduli apa terjadi kepada rakyat?

KEADAAN di Perak nampaknya semakin kusut. Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan yang diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut. Persoalannya adakah ini merupakan tindakan yang terbaik buat Umno atau sekadar mahu menunjukkan bahawa mereka sebenarnya angkuh.

Apabila sesebuah parti itu mahu memperjuangkan rakyat, parti itu sepatutnya lebih mengutamakan kesejahteraan rakyat. Kerana mahu merebut kuasa maka mereka mula bertindak mengikut perasaan. Rakyat sentiasa memerhatikan apa yang terjadi. Rakyat dapat menilai apa yanga berlaku.

Bermula dari rampasan kuasa menteri besar dan penyingkiran speaker secara tidak sah menampakkan lagi sifat rakus BN dalam menangani masalah yang membelenggu rakyat Perak.

Jika Umno ikhlas mereka sepatutnya mengutamakan kesejahteraan rakyat dari asyik berebut kuasa di Perak. Sidang Dun pada 7 Mei yang lalu bukan sahaja menunjukkan sikap Umno yang melanggar peraturan dan undang-undang yang kononnya mereka lah juara tetapi memalukan Malaysia di mata dunia. Dunia telah menyaksikan satu perkara yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara demokrasi apabila arahan speaker di ingkari. Kehadiran pihak polis dalam dewan atas arahan Umno menunjukkan bahawa polis bukan lagi bersikap berkecuali. Mereka bukan sahaja melanggar undang-undang disebalik lencana keselamatan mereka tetapi sanggup menjadi kuda tunggangan parti lain.


Penyelesaian bubar Dun adalah satu yang terbaik setakat ini kerana suasana sepanjang kemelut politik yang tidak menentu telah menggusarkan rakyat bukan sahaja di Perak malah di seluruh negara. Berilah kuasa kepada rakyat semula untuk memilih wakil mereka. BN dan Umno tidak perlu gusar jika parti mereka diterima oleh rakyat. Mereka perlu meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah parti yang yang mahu rakyat hidup dalam kesejahteraan. Jika mereka masih lagi terus berdegil dan bertindak untuk menghalang pembubaran Dun maka rakyat akan melihat mereka sebagai gila kuasa tanpa mempedulikan rakyat.

Keadaan ini akan merencatkan pembangunan Perak . Kerajaan yang ada terpaksa berdepan dengan masalah perlembagaan yang serius dan akhirnya rakyatlah yang menjadi mangsa. Rakyat akan terus mendendami Umno dan BN. Mereka akan bercerita sesama sendiri dan akan menolak Umno dan BN pada pilihan raya akan datang. Kebencian rakyat dan meluat dengan perbuatan Umno dan BN semakin sampai kepuncaknya.

Rakyat akan beranggapan jika perkara ini berterusan maka Umno dan BN lah yang patut dipersalahkan. Berilah rakyat sedikit ruang untuk mereka memilih sendiri pimpinan negeri mereka. Janganlah disekat hak rakyat. Kemelut ini sebenarnya mempercepatkan lagi Umno akan dikuburkan. Jadi fikir-fikirkanlah jika benar "Umno membawa kesejahteraan hidup untuk rakyat". Teruskanlah lagi konflik ini jika benar "Umno memang gila kuasa tanpa mempedulikan apa terjadi kepada rakyat"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pertandingan Formula Future Kebangsaan 2009