Jumaat, 31 Julai 2009

ADUN Permatang Pasir Meninggal Dunia


KUALA LUMPUR, 31 Julai: 
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia awal pagi hari ini di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man ketika memberitahu, jenazahnya dalam urusan di bawa balik ke Pusat Khidmat Dun yang pernah menjadi tempat tinggal sewanya sewaktu memenangi Dun Permatang Pasir sejak pilihanraya umum ke 10 tahun 1999 lalu.

Menurutnya, Allahyarham telah seminggu berada di IJN untuk menjalani rawatan susulan akibat kesakitan di bahagian jantung kembali setelah menjalani pembedahan sebelum pilihanraya umum ke 11 tahun 2003 di Hospital Besar Pulau Pinang.

Pada Pilihan raya ke 12 lalu beliau sekali lagi menang dengan majoriti besar mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) sekaligus mengekalkan kemenangan tiga penggal berturut-turut bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Allahyarham menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri selama 11 tahun setelah pemergian Allahyarham Tuan Guru Haji Zabidi Ali penghujung tahun 1980 an. Beliau seorang yang dedikasi dan merupakan pejuang yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta benda kerana memartabatkan Islam, " jelasnya.

Baru-baru ini Allahyarham dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato' sempena ulangtahun Tuan Yang Terutama Dato' Seri Utama Dr Abdul Rahman Abbas yang ke 71.

Harakhadaily dimaklumkan, jenazah Allahyarham bertolak dari IJN pukul 10 pagi ini dan dijangka sampai ke Permatang Pasir jam 2 petang ini.

Bagaimanapun tempat dan waktu pengkebumianya belum dipastikan cuma berkemungkinan petang ini.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dalam smsnya kepada Harakahdaily memaklumkan sedang dalam perjalanan ke IJN bagi menziarahi Allahyarham, beberapa pimpinan dijangka akan menziarahi jenazah dalam masa terdekat.

AJK PAS Pusat, Dato' Kamarudin Jaffar menyifatkan pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada PAS.

"Allahyarham adalah seorang pemimpin PAS yang amat kuat bekerja, rapat dengan rakyat sehingga mampu mempertahankan kerusi di Permatang Pasir walau dalam keadaan genting," ujarnya.

TERKINI!!!!!Sementara itu, pada jam 9.30 pagi tadi, jenazah Allahyarham telah dibawa dari IJN ke Permatang Pasir.Turut mengiringi jenazah ialah sanak saudara dan kaum keluarga yang sejak semalam menemani Allahyarham di IJN. Menurut salah seorang anak allahyarham, Dr Hamdan meninggal selepas dimasukkan ke IJN Isnin lalu, namun katanya Allahyarham meninggal dengan amat mudah pagi tadi.

"Tak nampak tanda-tanda beliau tenat semalam, saya sedang buat surat cuti untuk Allahyarham dari menghadiri Dun Pulau Pinang, namun belum sempat siap surat tersebut, pagi ini Allahyarham menghembuskan nafasnya, beliau seorang yang cukup tenang dan bapa yang sangat baik dan penyayang," ujar seorang menantunya kepada Harakahdaily.

Suasana sayu mengiringi perjalanan jenazah sebaik dikeluarkan dari Bilik Mayat IJN.Turut hadir ialah Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar; Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifly Ahmad; ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo Lo Mohd Ghazali dan pimpinan PAS yang lain.

Mewakili pihak PAS, Mahfuz mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas pemergian Adun Permatang Pasir.

"Beliau seorang yang cukup baik, rapat dengan rakyat, komited dan wakil rakyat yang memahami kehidupan rakyat, beliau rakan saya yang banyak membantu saya terutamanya ketika saya ditahan ISA (operasi lalang).Beliaulah yang menjaga kebajikan anak isteri saya.

"Beliau juga adalah teman yang amat memahami, saya rasai kehilangan yang sangat besar kepada satu perjuangan," ujarnya.

Sementara itu, Presiden KeADILan turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Dr Wan Azizah menyifatkan, Pakatan Rakyat kehilangan 'permata' yang sangat komited dengan kerja, membantu Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika Ketua Umum KeADILan itu menghadapi krisis politik tahun 1998.

"Beliau seorang yang mudah memahami, sangat penyayang dan bekerja keras untuk rakyatnya," ujar beliau.

Rabu, 22 Julai 2009

Tan Boon Wah saman SPRM, dakwa penahanannya salah

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah hari ini menyaman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mendakwa beliau ditahan dan disoal siasat secara salah, minggu lalu.

Tan, 39, memfailkan saman itu melalui Tetuan Karpal Singh & Co di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) di sini, pada pukul 12.30 tengahari.

Dalam saman itu, Tan, sebagai plaintif, menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, Penolong Penguasa SPRM, Mohammad Hassan Zulkifli dan SPRM sebagai ketiga-tiga defendan.

Dalam afidavit sokongannya, plaintif mendakwa pada 15 Julai lalu, beliau telah dibawa keluar dari rumah oleh pegawai-pegawai defendan ketiga ke ibu pejabat SPRM di Shah Alam untuk disoal siasat pada pukul 8.30 malam.

"Saya hanya dilepaskan pada jam 1.35 tengah hari pada hari berikutnya iaitu pada 16 Julai. Ini adalah selepas saya diserahkan suatu perintah untuk disoal siasat sebagai saksi pada 20 Julai, jam 10 pagi," kata plaintif dalam afidavit itu.

"Saya telah ditahan tanpa sebarang kuasa yang sah oleh pegawai SPRM. Saya menyatakan bahawa saya tidak boleh, dari segi undang-undang, dikehendaki untuk disoal selepas waktu kerja pejabat kerajaan, iaitu antara 8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari, seperti mana diperuntukkan Seksyen 30(1)(a) akta SPRM," kata plaintif.

Seterusnya plaintif mendakwa, tindakan itu adalah suatu pengurungan tidak sah serta penahanan salah yang menyebabkannya mengalami kerugian dan kerosakan.

Melalui saman itu, plaintif menuntut perintah perisytiharan mahkamah bahawa defendan-defendan, yang menyiasat di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009, hanya boleh merekodkan pernyataan plaintif sebagai seorang saksi dalam tempoh waktu pejabat sahaja, iaitu dari pukul 8.30 pagi sehingga 5.30 petang.

Plaintif juga menuntut perintah perisytiharan bahawa kesemua defendan telah bertindak bertentangan dengan peruntukan Seksyen 30 (3)(a) akta itu, gantirugi untuk penahanan salah, kos dan lainlain relif dari mahkamah.

Tan merupakan seorang daripada beberapa orang yang dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan dalam siasatan berhubung dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Setiausaha politik kepada seorang anggota Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock, yang juga dipanggil untuk disoal siasat oleh SPRM di ibu pejabat SPRM di tingkat 14 Plaza Masalam, Shah Alam, telah ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan itu, 16 Julai lalu. BERNAMA

Kematian Teoh: PM umum tubuh inkues

Mesyuarat mingguan jemaah menteri hari ini tunduk kepada desakan popular pelbagai pihak, termasuk pemimpin BN, agar menyiasat secara bebas punca kematian Teoh Beng Hock. 

Keputusan rasmi kabinet itu yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak dalam satu sidang media khas di pejabat perdana menteri di Putrajaya menyebut: 

Pertama, Kementerian Dalam Negeri dan polis diarahkan menyelesaikan siasatan secepat mungkin dan laporan siasatan tersebut, yang sedang berjalan, akan diumumkan.

Dua, satu inkues atau siasatan awam yang diketuai oleh seorang majistret untuk menentukan punca kematian Teoh.

Tiga, menubuhkan suruhanjaya diraja dengan bidang kuasa khas untuk menilai kaedah soal siasat yang diguna pakai oleh SPRM dan menentukan sama ada pernah berlaku pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disiasat mulai petang 15 Jun hingga awal pagi esoknya.

Susulan kematian mengejut dan penuh tanda tanya Teoh selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna peruntukan DUN di Selangor, banyak pihak menggesa penubuhan suruhanjaya tersebut. 

Teoh merupakan setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah. 

Dalam sidang media yang dinanti-nantikanitu, Najib juga berkata, beliau sendiri akan memaklumkan keputusan siasatan tersebut kepada keluarga Teoh apabila ia telah selesai.

"Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mencari kebenaran. Saya juga akan memaklumkan sendiri kepada keluarga saudara Teoh hasil siasatan ini nanti," katanya di Putrajaya.

Sementara menunggu keputusan siasatan, Najib menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat dan menimbulkan tanggapan yang salah.

Beliau turut menafikan kabinet mendapat tekanan berhubung kematian misteri Teoh sehingga memutuskan menubuhkan inkues dan suruhanjaya diraja bagi menangani perkara itu.

Ditanya berhubung tempoh masa yang ditetapkan kabinet bagi
menyelesaikan siasatan kes itu, Najib berkata, siasatan polis dan
suruhanjaya diraja dijangka dapat diselesaikan "secepat mungkin".

Sementara inkues pula bergantung kepada keputusan majistret, tambahnya.

Mengulas status siasatan SPRM terhadap dakwaan salah guna
peruntukan DUN Selangor di kalangan ADUN Pakatan Rakyat, Najib berkata, ia akan diteruskan seperti biasa dengan kumpulan penyiasat yang baru.

"Setiap dakwaan salah laku akan disiasat SPRM. Kita tidak buat sebarang keputusan menggantung siasatan tersebut," katanya.

Beliau menafikan siasatan SPRM telah digantung susulan
berlakunya kematian Teoh.

Selasa, 21 Julai 2009

Penghormatan terakhir untuk Teoh




MELAKA, 21 Julai: Para pemimpin Pakatan Rakyat bersama rakyat memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Teoh Beng Huat yang meninggal dunia di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub mengetuai pimpinan PAS yang bergegas ke Melaka selepas retreat PAS di Alor Setar yang tamat petang Ahad lepas.

Selain beliau, turut serta Pesuruhjaya PAS Melaka, Abdul Ghani Rahman, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dan Zulkifli Mohd Omar. Turut serta Mohamad Sabu, AJK PAS Pusat.

Di samping itu, para Exco negeri Selangor turut serta bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Teoh. Antaranya Dr Halimah Ali.

Lebih kurang 2,000 orang berhimpun untuk menghadiri pengkebumian Teoh Beng Hock di Alor Gajah, Melaka.

Upacara bermula jam 9.45 pagi semalam dan keranda mendiang Teoh dibawa dari rumahnya di Taman Sri Kelamak kira-kira jam 11 pagi, untuk dikebumikan di taman peringatan Nirvana di Semenyih.

PAS sokong penuh tubuh suruhanjaya bebas


ALOR SETAR, 21 Julai - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS menyokong penuh supaya sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan segera bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada exco kerajaan negeri Selangor, baru-baru ini.

Menurut beliau lagi PAS juga telah sepakat bersama-sama dengan Pakatan Rakyat supaya suruhanjaya bebas yang ditubuhkan ini akan menjalankan siasatan dengan telus dan berwibawa bagi mencari punca sebenar kematian Teoh.

"Apabila siasatan ini dijalankan kita mahu supaya ia dijalankan dengan teliti dan adil. Keadilan sebenarnya adalah untuk semua rakyat. Kemungkinan dengan penyiasatan bebas oleh suruhanjaya yang dibentuk ini ia akan mencari punca kelemahan-kelemahan dalam jentera kerajaan yang perlu disiasat dengan teliti."

Dalam isu Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA), Abdul Hadi tidak bersetuju dengan pandangan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mahukan ISA dikaji semula.
"ISA perlu dimansuhkan bukan dikaji semula.Ia adalah undang-undang yang aktanya pada zaman penjajahan Inggeris. Sepatutnya kerajaan perlu memerdekakan undang-undang negara. Ia sepatutnya bersikap bebas dan tidak membelenggu kezaliman serta mengongkong rakyat.
"Kita boleh bertindak untuk keselamatan negara. Cumanya undang-undang ISA ini adalah undang-undang yang sudah lapuk. Yang diperlukan ialah undang-undang yang tidak menzalimi rakyat serta dapat menjaga keamanan dan keselamatan negara.

"Tapi apa yang ada sekarang ialah undang-undang yang menjaga keamanan parti dan pemimpin-pemimpin parti yang memerintah.Ini bukan undang-undang keselamatan negara."
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program retreat (pemukiman) PAS di sebuah di sebuah hotel dekat sini.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Isnin, 20 Julai 2009

Bos Teoh, peguam akan disiasat polis


Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis akan mengambil keterangan Ean Yong Hian Wah dan ADUN Kota Alam Shah M Manoharan bagi membantu siasatan kematian Teoh Beng Hock.

Tambahnya, setiausaha politik Ean didapati berhubung dengan ketuanya itu, seorang exco kerajaan Selangor, dan Manoharan, yang juga seorang peguam, sebelum disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang Rabu lalu.

Menurutnya lagi, seperti dilaporkan 
Bernama, polis juga akan merakamkan percakapan anggota keluarga mendiang pada waktu yang sesuai nanti.

Polis juga ingin merakam percakapan Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Tan Boon Wah kerana beliau membuat laporan polis di Shah Alam terhadap SPRM pada Sabtu lepas tetapi enggan percakapannya dirakamkan.

"Saya menasihatkan dia supaya menghadirkan diri ke balai polis untuk beri percakapan atas laporan yang dia buat, kalau tidak kita terpaksa isu notis mengikut (Seksyen) 111, Kanun Acara Jenayah untuk perintah dia beri keterangan di balai," Khalid dipetik berkata.

Jika Tan tetap enggan memberikan keterangan berkenaan laporan polis yang dibuatnya itu, polis boleh mengambil tindakan lanjut terhadapnya atas dakwaan membuat laporan palsu, katanya sidang media di ibu pejabat polis Selangor hari ini.

Selain itu, tambah Khalid, polis juga akan memanggil dua orang yang
bersama-sama Tan dan Teoh yang disoal siasat oleh SPRM pada hari yang sama.

Polis setakat ini merakam 33 percakapan termasuk 25 pegawai SPRM.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor ditemui mati di Tingkat Lima, Plaza Masalam di Shah Alam pada Khamis lalu selepas disoal siasat oleh SPRM).

suruhanjaya tersebut Mendiang antara saksi yang dipanggil untuk membantu siasatanberhubung kes salah guna peruntukan DUN oleh beberapa ADUN Pakatan Rakyat di negeri itu.

Kematian Teoh: Pakar forensik kunjungi pejabat SPRM Selangor

SHAH ALAM: Polis semalam mengunjungi semula ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor dan dipercayai mengambil beberapa dokumen dan komputer bagi membantu siasatan kes kematian setiausaha politik Exco Selangor Teoh Beng Hock.

Sepasukan kira-kira 10 hingga 15 pegawai dari Forensik polis Cheras bersama pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam tiba di pejabat SPRM di Plaza Masalam pada kirakira pukul 5.15 petang dan terus ke pejabat suruhanjaya itu di tingkat 14.

Pasukan itu, termasuk Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Omar Mamah, turut memeriksa pejabat keselamatan bangunan itu yang terletak di tingkat empat dan mengambil beberapa perisian rakaman komputer yang dipercayai mengandungi rakaman CCTV.

Dalam pemeriksaan selama kirakira tiga jam itu, mereka turut memeriksa tingkap bilik soal siasat di tingkat 14 iaitu tempat Teoh dipercayai terjatuh, dan mengambil penyelak tingkap itu.

Pasukan itu juga membuat pemeriksaan di tingkat lima, tempat mayat Teoh ditemui.

Omar, ketika ditemui pemberita bagaimanapun enggan menyatakan apa yang dirampas dari pejabat SPRM itu dan tidak menolak kemungkinan untuk ke pejabat itu lagi.

Beliau berkata SPRM memberi kerjasama penuh dalam membantu siasatan kes itu dan menjelaskan bahawa "ia bukan serbuan dan hanya lawatan semula ke tempat kejadian jenayah".

Teoh, 30, yang merupakan seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan bagi Exco kerajaan negeri Selangor, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari Khamis lepas setelah memberikan keterangan kepada SPRM.

Teoh mati 4-5 jam sebelum ditemui

Siasatan awal mendapati Teoh Beng Hock sudah meninggal dunia empat atau lima jam selepas mayatnya ditemui mati dekat pejabat Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pukul 1.30 tengah hari Khamis lalu, kata ketua polis negeri.

Satu serpihan selak penutup tingkap pejabat SPRM itu, di Plaza Masalam di Shah Alam, turut ditemui dekat tempat mayat ditemui, kata Datuk Khalid Abu Bakar hari ini.

Dalam sidang media bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan di ibu pejabat polis negeri di Shah Alam, Khalid berkata rakaman CCTV menunjukkan setiausaha politik seorang exco Selangor memasuki bangunan itu jam 5.15 petang Rabu. 

Bagaimanapun tidak rekod Teoh keluar keesokannya selepas dilaporkan selesai siasatan jam 3.45 pagi Khamis.

Khalid juga berkata polis sudah mendapat telefon bimbit Teoh daripada seorang pegawai penyiasat SPRM. 

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut berkenaan rekod telefon tersebut kerana masih dalam siasatan polis.

Musa, dalam sidang itu, berkata polis setakat ini telah berjaya menyiasat 60 peratus kes kematian tersebut - yang diselubungi pelbagai persoalan.

Selasa, 14 Julai 2009

Kemenangan tipis satu peringatan untuk Pakatan

MANEK URAI, 14 Julai: Kemenangan tipis PAS kali ini dilihat sebagai satu peringatan kepada Pakatan Rakyat dan PAS agar sedar segera.

"Kami mahu pemimpin Pakatan sedar, kami orang bawah ini tidak mahu melihat pemimpin bergaduh dalam media dan memberikan persepsi negatif kepada umum," kata seorang ahli PAS dari Kemaman.

Sejak kebelakangan ini, tanpa mengambil kira parti mereka sedang bertanding dalam pilihan raya kecil Manek Urai, para pemimpin Pakatan saling serang menyerang antara mereka di depan umum.

DAP Kedah membuat kenyataan menarik diri dari kerajaan Pakatan di negeri itu manakala di Selangor Pemimpin PKR, Azmin Ali mempertikaikan Exco kerajaan negeri Selangor.

Anggota Parlimen PKR Wangsa Maju, Wee Choo Keong pula mendakwa seorang Exco Selangor berurusan dengan kumpulan kongsi gelap di pejabatnya.

Ekoran itu, cabar mencabar dan ugut mengugut berlaku.

Bagi menanganinya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencadangkan agar Pakatan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Disiplin untuk menjaga tatatertib pemimpin mereka.

Retreat pimpinan PAS Sabtu dan Ahad ini di Alor Setar dijangka akan menjadi perbincangan panas dengan apa yang berlaku ini sebelum kata sepakat tercapai di kalangan mereka.

PAS Menang di Manek Urai


Terkini|MANEK URAI, 14 Julai:  Keputusan rasmi, PAS menang dengan majoriti 65 undi. PAS mendapat 5,348 undi manakala BN mendapat 5,283 undi.

kemaskini 9.00pm Keputusan rasmi PAS menang dengan kelebihan 65 undi mengalahkan BN di Manek Urai. Kelihatan di pusat penjumlahan undi adalah Exco Kerajaan Negeri, Dato' Husam Musa; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad. Tiada pemimpin Umno kelihatan di sini.

kemaskini 8.22pm Calon PAS Mohd Fauzi Abdullah melangkah longlai keluar dari bilik gerakan utama parti di Manek Urai.


NONEBeliau dalam perjalanan menuju ke tempat penjumlahan undi di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai. 

Menurut sumber parti itu, PAS meraih 5,347 undi, BN pula mendapat 5,283 undi dan majoritinya tinggal 64 daripada 1,352 undi yang diperolehi pada pilihanraya umum lalu. 


kemaskini 8.19pm Keputusan rasmi PAS mendapat 4,335 undi, sementara BN pula 4,299 undi.

Lima peti undi belum sampai di tempat penjumlahan undi di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang menanti ketibaan peti-peti sebelum membuat pengumuman rasmi.

Majoriti setakat ini 36 undi.

kemaskini 8.13pm
 Keputusan rasmi PAS mendapat 3,092 undi, sementara BN pula 2,747 undi. 

Majoriti setakat ini 345 undi.


kemaskini 7.59pm
 PAS didakwa menang dengan majoriti 65 undi tetapi akibat majoriti terlalu tipis, pengiraan semula dijangka akan dijalankan.

bm version kerusi dun manek urai 220509Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata BN sedang berusaha agar kiraan semula diadakan.

"Kiraan pertama dan kedua sangat, sangat berbeza," katanya melalui Twitter sebentar tadi.

kemaskini 7.51pm
 Jika berlaku pengiraan semula di beberapa daerah mengundi, keputusan malam ini mungkin lebih lewat diketahui.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimami solat di bilik gerakan utama PAS di Manek Urai.

Suasana serius di sini setelah agen-agen PAS dari tempat mengundi pulang dengan keputusan masing-masing.


kemaskini 7.39pm
 Menurut sumber Twitter Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kemenangan BN "semakin terserlah."

"Keputusan tidak rasmi kelihatan rasmi dari minit ke minit. Kemenangan BN semakin terserlah," katanya.


kemaskini 7.34pm
 PAS mempamerkan di layar besar di bilik gerakannya dengan angka parti itu tersebut meraih 5,363 undi, manakala BN mendapat 5,293 undi. 

PAS mendapat kelebihan 70 undi.


kemaskini 7.24pm
 BN mendahului Manek Urai Baru dan Manek Urai Baru, PAS pula mendahului di Late Rek dan Chuchoh Puteri daripada sembilan daerah mengundi.

Daerah-daerah lain: Temalir, Sungai Peria, Sungai Sok, Manjor dan Laloh


NONEkemaskini 7.10pmSekumpulan penyokong BN di bilik operasi parti itu di Manek Urai kelihatan bergembira "atas kemenangan" calon mereka Tuan Aziz Tuan Mat.

Ada sumber menyatakan kemenangan sebanyak "30 undi", sementara terdapat sumber menyebut "200 undi".

Calon BN dan pemimpin BN tidak kelihatan di situ.

Menurut sumber Twitter Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, BN mendahului 38 undi.


kemaskini 5.09pm Pengiraan undi bagi DUN Manek Urai akan bermula seawal-awalnya jam 5.30 petang yang melibatkan semua 27 saluran di sembilan pusat pembuangan undi.

Calon BN Tuan Aziz Tuan Mat cuba merampas kerusi tersebut yang dipertahankan oleh calon PAS Mohd Fauzi Abdullah dalam persaingan agak sengit sehingga mencetuskan pergaduhan para penyokong.

Peratus keluar mengundi sehingga pukul 5 petang tadi, setelah proses pengundian tamat, 87.3 peratus daripada 12,293 orang atau 10,736 pemilih menunaikan tanggungjawab.

Keputusan rasmi akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat penjumlahan undi di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai seawal-awalnya jam 8 malam ini.

BN-PAS bergaduh, lima ke hospital

BN-PAS bergaduh, lima ke hospital
kemaskini 5pm Proses pembuangan undi di sembilan pusat pengundian yang melibatkan 27 saluran ditutup dengan rasminya jam 5 petang ini.

PAS awal-awal lagi yakin mempertahankan kerusi DUN Manek Urai dengan bancian awal sekurang-kurangnya majoriti 2,000 undi.


kemaskini 4.22pm Peratus keluar mengundi sehingga pukul 4 petang tadi sudah mencecah 86.4 peratus atau 10,626 pemilih menunaikan tanggungjawab - sejam lagi sebelum pusat pembuangan undi ditutup.


kemaskini 3.38pm PAS awal-awal lagi yakin mempertahankan kerusi DUN Manek Urai dengan bancian awal sekurang-kurangnya majoriti 2,000 undi.


kemaskini 3.32pm Peratus keluar mengundi sehingga pukul 3 petang tadi sudah mencecah 83.9 peratus atau 10,312 pemilih menunaikan tanggungjawab - dua jam sebelum pusat pembuangan undi ditutup.


kemaskini 2.48pm Lebih kurang 300 penyokong PAS dan BN dilaporkan bertembung di pusat membuang undi SK Peria dekat kira-kira 12 tengah hari ini.

Pergaduhan tersebut berjaya dileraikan oleh polis dan empat buah trak unit tindakan ringan diletakkan di situ bagi meningkatkan keselamatan, lapor laman web 
Utusan Malaysia.

Susulan pergaduhan itu, beberapa orang penyokong kedua-dua belah pihak mengalami kecederaan dan semuanya dihantar ke Hospital Kuala Krai.

Akhbar yang sama juga melaporkan, kira-kira jam 11 pagi terjadi insiden membaling batu dan botol antara kedua-dua belah pihak di sekolah berkenaan.

Sementara itu laman web 
The Star pula melaporkan, lima anggota Puteri Umno mengalami kecederaan dalam kekecohan dua kumpulan penyokong parti yang bersaing itu di luar SK Peria kira-kira 10.30 pagi. 


kemaskini 2.05pm Calon BN Tuan Aziz Tuan Mat yakin peluangnya merampas kerusi DUN Manek Urai "lebih cerah" jika peratusan keluar mengundi meningkat.

Ditemui dekat pusat membuang undi di Chuchoh Puteri, beliau berkata peratusan tinggi itu bermakna ramai pengundi muda keluar membuat pilihan dan memangkah BN. 


kemaskini 1.55pm Dua ahli Puteri Umno Kelantan dikejarkan ke Hospital Kuala Krai selepas dibaling dengan batu ketika bertugas di pusat pembuangan undi SK Peria, lapor laman web Utusan Malaysia.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari, masing-masing cedera di belakang dan pengsan di tempat kejadian akibat terkena balingan batu oleh perayu undi parti yang bertanding.

Difahamkan ada kalangan mereka yang cedera sehingga patah gigi kerana masing-masing membaling botol air dan batu ketika meraih undi, lapor akhbar itu lagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dipetik berkata, kejadian berlaku berikutan provokasi yang dilakukan oleh perayu-perayu undi parti yang bertanding.


kemaskini 1.25pm Jumlah penyokong PAS jauh mengatasi kumpulan kecil penyokong BN di pusat pembuangan undi Lata Rek dengan kadar 150 orang berbanding lima orang, semuanya Wanita dan Puteri Umno.

Kumpulan wanita disorak agar "balik ke rumah" tetapi tetap bersemangat dengan berpayung di bawah terik matahari, sambil mengibarkan bendera. 

Manakala kumpulan penyokong PAS pula berada di bawah khemah yang dilengkapi kipas angin, makanan dan minuman. Mereka berehat dengan santai, termasuk makan tengah hari di situ 
(foto kanan)

Beberapa penyokong Umno kelihatan berteduh di pokok-pokok berhampiran. 


kemaskini1.23pm Peratus keluar mengundi sehingga pukul 1 tengah hari sudah mencecah 76.2 peratus atau 9,359 pemilih mengundi pilihan masing-masing - sama ada calon BN Tuan Aziz Tuan Mat atau calon PAS Mohd Fauzi Abdullah.

Mengikut trend pembuangan undi setakat ini, peratus keluar mengungi kemungkinan akan lebih tinggi daripada 85 peratus seperti disasarkan lebih awal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 


kemaskini 12.58pm Seorang bekas pemimpin Umno Kuala Krai mendakwa parti itu menghadapi masalah pembahagian duit kepada pengundi Umno di DUN Manek Urai.

"Saya difahamkan duit tidak cukup, terpaksa menunggu duit baru," katanya, yang enggan namanya disiarkan, kepada 
Malaysiakini.

Ketua Wanita Umno Kuala Krai, Rohani Abdul Majid bagaimanapun berkata, duit berkenaan bukannya untuk pengundi DUN Manek Urai, sebaliknya untuk perayu undi dan penampal poster. 
Berita penuh di sini.


kemaskini 12.22pm Peratus keluar mengundi sehingga pukul 12 tengah hari sudah mencecah 68.4 peratus atau 8,415 pemilih menunaikan tanggungjawab - empat jam selepas pusat pembuangan undi dibuka.


kemaskini12.03pm Kira-kira 40 dilihat beratur di hadapan sebuah rumah kayu dalam kawasan bangunan pejabat Kesedar, yang terletak kira-kira 50 meter dari pusat mengundi di SK Peria.

Malaysiakini nampak mereka menghulurkan kad pengenalan masing-masing kepada beberapa petugas di depan pintu rumah tersebut. Berita penuh di sini.


kemaskini 11.35am Peratus keluar mengundi sehingga pukul 11 pagi ini sudah mencecah 57.6 peratus atau 7,085 pemilih menunaikan tanggungjawab - tiga jam selepas pusat pembuangan undi dibuka.


kemaskini 11.20am Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yakin parti itu akan mengekalkan kerusi DUN Manek Urai, tetapi dengan majoriti yang berkurangan.

Mahfuz, yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, beliau juga menjangka jumlah pemilih yang keluar mengundi hari ini ialah di sekitar 84 peratus.

"Saya tidak menjangka ramai akan pulang (untuk mengundi) kerana hari ini Selasa (hari bekerja di luar Kelantan).

"Namun begitu, dari maklum balas yang diterima, ada yang telah pulang (untuk mengundi).

"Kerana itu kita menjangka menang tetapi jumlah majoriti kurang," katanya.


kemaskini 10.50am Penyokong PAS mengepung sebuah kereta yang dinaik mereka disyaki menyamar sebagai pegawai SPR yang mengguna pelekat dan masuk ke pusat pengundian di Manjor.

Penyokong PAS meminta identiti mereka. Polis kemudiannya campur tangan dan mengesahkan mereka bukan pegawai SPR dan mengarahkan mereka beredar dari situ.

Penyokong PAS itu turut mengoyak pelekat yang ditampal di kereta tersebut sambil melaungkan "penyamar".

kemaskini 10.39am Di SK Manek Urai Lama, kira-kira 250 penyokong PAS balas-membalas sorakan dengan lebih kurang 200 penyokong BN. 

Penyokong PAS menjerit "rasuah" dan "Altantuya" (Shaariibuu) kepada lawannya, dan kedengaran ungkapan lucah berkonotasi liwat dari arah kumpulan BN yang berada di seberang sebatang jalan kampung.


kemaskini 10.23am Peratus keluar mengundi sehingga pukul 10 pagi ini sudah mencecah 38.3 peratus atau 4,706 pemilih menunaikan tanggungjawab - dua jam selepas pusat pembuangan undi dibuka.


kemaskini 10.05am Di Manek Urai Baru pula, seorang wanita dipercayai penyokong Umno "naik angin" kerana tidak tahan mendengar bacaan salawat dan takbir yang kuat dan tidak henti-henti oleh penyokong PAS.

Insiden dekat SK Manek Urai Baru bermula lebih kurang 9.10 pagi, tidak lama selepas MB Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggalkan kawasan tersebut. 

Laungan takbir yang diselang-seli dengan selawat kira-kira 150 penyokong PAS, kebanyakan lelaki - yang berada di sebelah sekumpulan 50 penyokong BN, rata-ratanya wanita - menimbulkan rasa gelisah wanita terbabit.

Beliau kelihatan berbincang dengan beberapa petugas PAS dan dengan muka berangnya bersuara dengan nada sedikit tinggi. Bagaimanapun suaranya ditenggelami laungan penyokong PAS. 

Beberapa anggota polis kemudian kelihatan cuba memisahkan kumpulan parti-parti politik bertanding itu. Kira-kira 30 anggota polis ditempatkan di situ.


kemaskini 9.29am Proses pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Manek Urai bermula sejak lebih sejam lalu, dengan kedua-dua calon, Tuan Aziz Tuan Man dari BN dan Mohd Fauzi Abdullah dari PAS meninjau pusat pengundian. 

Kedua-duanya bukan pengundi dalam DUN tersebut.

Manek Urai mempunyai 12,293 pengundi, dengan 99.2 peratus Melayu manakala bakinya pemilih Cina dan India.

Keputusan pilihanraya kecil hari ini akan menandakan sama ada PAS dan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat mampu mengekalkan pengaruhnya di Kelantan yang telah ditadbir selama 19 tahun.

Manakala BN, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pula mengharapkan kemenangan di Manek Urai bagi menamatkan kekalahan berterusan BN dalam semua pilihanraya kecil - kecuali DUN Batang Ai di Sarawak - selepas pilihanraya umum tahun lalu.

Nik Aziz yang tiba di pusat mengundi di SK Perai 10 minit awal, terpaksa menunggu ketibaan Mohd Fauzi.

Calon PAS itu tiba jam 8.10 pagi dan mencium tangan menteri besar tersebut sebagai tanda hormat, manakala para penyokong pula melaungkan "Allahu Akbar".

Manakala kumpulan Wanita Umno di bersebelahannya pula menempik "Hidup Melayu". Calon BN kemudiannya beredar ke Manek Urai Lama.

Nik Aziz dan Fauzi yakin PAS akan mempertahankan kerusi DUN Manek Urai dalam pilihanraya kecil hari ini.

Manakala Tuan Aziz pula berkata pula yakin sekurang-kurangnya 51 peratus pemilih akan mengundi BN.

"Setakat semalam, sokongan makin meningkat," katanya.

Sebelum ini, para pengundi mula menyemak nama masing-masing dalam senarai pemilih di pondok yang disediakan oleh SPR.

Keadaan di sekitar Manek Urai Lama bergerak perlahan. Cuaca baik dan anggota polis mengawal di setiap simpang. Banyak kawasan dijadikan jalan sehala.


kemaskini 9.05amSembilan pusat pengundian dibuka mulai 8 pagi yang melibatkan 27 saluran dan diselia kumpulan pegawai lantikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diketuai pegawai pengurus Adnan Hussin, yang juga ketua jajahan Kuala Krai.

Pusat pembuangan undi dan jumlah pemilih yang layak seperti berikut: 

1. SK Temalir (983 orang) 
2. SK Peria (2,019)
3. SK Manek Urai (1,890)
4. SK Manek Urai Baru (1,093)
5. SK Sungai Sok (980)
6. SK Chuchoh Puteri (1,517) 
7. SK Lata Rek (1,094)
8. SK Kampung Karangan (1,049)
9. SMK Laloh (1,643)

Jumlah keseluruhan pemilih, termasuk 25 orang melalui pos, 12,293 orang.

SPR mensasarkan kira-kira 85 peratus daripada pengundi akan keluar mengundi ada pilihan raya kecil ini.

Selepas pengundian ditutup pukul 5 petang ini, dan kemudian pengiraan undi di semua sembilan pusat berkenaan, penjumlahan undi akan dilakukan di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Keputusannya dijangka seawal-awalnya pukul 8 malam ini.

Khamis, 9 Julai 2009

Dapatkan Siasah terbaru di pasaran Jumaat ini


Siasah minggu ini memaparkan berita politik semasa yang berlaku di seluruh negara dan dunia. 


Antara berita yang menarik dipaparkan ialah mengenai perbincangan antara MB Kedah, Ustaz Azizan Razak dengan Lim Kit Siang dam pimpinan DAP Kedah yang berlangsung di Kuala Lumpur.


Ia juga mengenai kejayaan Rakyat berkenaan dengan isu PPSMI yang akan ditamatkan menjelang 2012.


Ia juga memaparkan Rumah Agam kepunyaan kepunyaan Khir Toyo berharga RM24juta yang didakwa olehnya hanya berharga RM3 juta  dan iklan rumah tersebut untuk dijual kepada sesiapa yang berminat.


Wawancara pula mengenengahkan bekas Pesuruhjaya PAS Perak dan Aziz Bari.


Ia juga memaparkan berita PRK Dun Manek Urai dan Keadaan semasa di sana. Terdapat segmen komentar mengenai isu Kg Buah Pala yang berbangkit di Pulau Pinang. Segmen global, rencana, agama, pengguna dan lain-lain.


Untuk mengetahui berita selanjutnya dapatkan Siasah keluaran terbaru di pasaran Jumaat ini. 

Rabu, 8 Julai 2009

Krisis DAP Kedah dengan Kerajaan Negeri selesai


PERTEMUAN antara Ustaz Azizan Razak dengan Lim Kit Siang dan pimpinan DAP kedah membincangkan kemelut DAP Kedah dan Kerajaan Negeri  di Kuala Lumpur hari ini membuahkan hasil yang positif.


Perbincangan yang berlangsung dalam semangat muhibbah telah dapat mencari jalan penyelesaian mengenai isu yang sedang berlaku.


Pakatan Rakyat hari ini bersetuju untuk mewujudkan satu sekteriat bagi pemimpin Pakatan Rakyat membincangkan apa sahaja masalah yang timbul.


Perkara ini diumumkan oleh Ust Azizan dalam satu sidang Media Khas dan beliau menjelaskan bukan sahaja bersetuju mewujudkan sekreteriat tetapi turut menyelesaikan beberapa isu yang berbangkit.


Dengan persetujuan adalah diharap DAP Kedah dapat membantu Kerajaan negeri Kedah dengan memberi idea  dan mengeratkan semula semangat setiakawan yang wujud sebelum ini.


DAP Kedah juga diharap tidak lagi menggunakan saluran media untuk mengecam kerajaan negeri sebaliknya menggunakan saluran yang ada dan berbincang dengan menjaga perasaan ahli dalam pakatan dan keperluan mereka.

Pertandingan Formula Future Kebangsaan 2009